Wednesday, 7 August 2019

Terengganu FC2 Atur Langkah Pertahan Piala Cabaran 2019

SHARE
Bruno Suzuki jaring dua gol bantu Terengganu FC2 atasi Kuala Lumpur.

KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Juara bertahan tahun lalu, Terengganu Football Club (TFC) 2 memulakan saingan Kumpulan B Piala Cabaran 2019 dengan kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur, semalam.

Melayan kunjungan Warga Kota di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), tuan rumah mempamer aksi meyakinkan apabila kerap melakukan percubaan-percubaan merbahaya ke kubu pelawat.

Penyerang dari Jepun, Bruno Suzuki pada minit ke-21 cuba menyempurnakan hantaran Marcel Dechi tetapi kuisannya hanya melepasi palang gol.

Biarpun perlawanan tampak seimbang, Terengganu FC2 lebih tajam di hadapan kubu lawan dan beberapa kali mengancam benteng pelawat.

Pada minit ke-28,  Mohammad Ridzuan Razali berjaya mengelecek dari tengah pada sebelum rembatannya dari luar kotak penalti. Sayangnya, rembatan tersebut dinafikan palang gol.

Terengganu FC2 menggandakan serangan dan Ridzuan sekali lagi berjaya meloloskan diri untuk berdepan penjaga gol lawan, tetapi rembatannya ditampan Mohamad Faridzuean.

Di minit akhir separuh masa pertama, Marcel menyempurnakan sepakan percuma Terengganu FC2 dengan menghantar bola tepat kepada Bruno yang disudahkan rembatan deras menembusi gawang pelawat.

Memasuki babak kedua, pasukan kendalian Tengku Hazman Raja Hassan itu mendapat peluang menjarakkan kedudukan apabila dihadiahkan penalti pada minit ke-55, namun gagal disempurnakan Bruno.

Rentak perlawanan terus rancak antara kedua-dua pasukan. Pada minit ke-62, Terengganu FC2 berpeluang mengatur serangan balas dan Ashari Samsuddin melakukan lorongan cantik yang berjaya disudahkan Bruno memberikan harapan tiga mata buat pasukan.

Tersentak dengan keadaan itu, Kuala Lumpur cuba menggasak kubu tuan rumah. Kesungguhan pelawat akhirnya berhasil pada mnit akhir perlawanan apabila Paulo Josue berjaya melakukan rembatan dari luar kotak penalti menebusi gawang yang dikawal Mohd Shamirza Yusoff.

Bagaimanapun, kebangkitan itu tidak cukup untuk mencuri satu mata daripada Sang Penyu. Tamat perlawanan, keputusan kekal 2-1 meletakkan Terengganu FC2 berada di landasan yang betul untuk mempertahankan kejuaraannya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: