Friday, 16 August 2019

Terengganu Berpotensi Jadi Hab Penternakan Lembu Sado - Azmin Ali

SHARE

Azmin Ali bersama Ahmad Samsuri dan Azman Ibrahim melihat hasil ternakan lembu sado milik Mohd Shahrir

HULU TERENGGANU, 15 Ogos - Terengganu mempunyai potensi besar untuk menjadi hab penternakan utama lembu sado yang secara tidak langsung akan berjaya memenuhi keperluan pasaran di negara ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Azmin Ali berkata, hasrat itu akan dijayakan dengan beberapa perancangan yang digariskan kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri, dan telah dibincangkan dalam Mesyuarat Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) yang berlangsung di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu pagi tadi.

Jelasnya, usaha berkenaan akan menjana peningkatan kualiti produk dan pendapatan yang lebih lumayan kepada lebih 200 pengusaha ternakan lembu ‘katang’ di negeri itu.

“Sektor pertanian dan penternakan ini adalah sektor baharu yang perlu dipelopori dengan menggunakan pendekatan dan teknologi baharu, sudah tentulah ramai di kalangan pengusaha ini berada dalam kelompok B40.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Veterinar dan kerajaan negeri, untuk sediakan sokongan bagi memastikan diwujudkan satu hab, bagi membolehkan pemasaran ini dilakukan dengan lebih berkesan dan memberikan pulangan yang baik kepada pengusaha lembu sado di Terengganu,” katanya.
Azmin Ali menegaskan pendapatan golongan B40 akan berjaya ditingkatkan apabila hab lembu sado diwujudkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan Lawatan ke Projek Ternakan Lembu Sado, di Kampung Cepoh, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Radzi Jidin, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali.Top of FormBottom of Form

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhar yang turut hadir menegaskan, kerajaan negeri sentiasa memandang serius sebarang usaha untuk memperkukuhkan penglibatan masyarakat dalam bidang pertanian, penternakan dan perikanan di negeri itu.

Katanya, lebihan tanah serta kawasan yang telah diwartakan untuk menjalankan aktiviti tersebut akan diterokai secara berhemah agar ia memberikan hasil yang lumayan untuk rakyat.
Ahmad Samsuri berkata pelan strategik pertanian bakal merancakkan lagi sektor tersebut di negeri berkenaan.
Kita telah lancarkan Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 baru-baru ini, untuk memanfaatkan kira-kira 12,000 hektar tanah untuk tiga bidang ini yang belum diusahakan di seluruh negeri.

Kita akan bincang dengan kerajaan pusat dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, bagaimana cara untuk memperkukuhkan lagi peranan negeri agar tiga bidang ini dapat dimanfaatkan di Terengganu,” katanya.

Pelan itu mempunyai enam teras yang mengandungi 61 strategi melalui 128 program, dalam misi mentransformasi pertanian Terengganu ke arah pemerkasaan sumber baharu, meningkatkan hasil Keluaran Dalam Negeri dan Negara Kasar secara holistik, bagi menjamin keselamatan makanan serta menjadikan pertanian sebagai perniagaan.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: