Wednesday, 7 August 2019

SM Imtiaz Kemaman Terengganu Dinobat Juara Petronas All About Youth 2019

SHARE

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kemaman yang menambat hati juri menerusi projek inovasi 'CO2NCER'  iaitu sistem pengesan awal dan amaran kebakaran hutan dinobatkan sebagai juara Pertandingan Sentuhan Harapan - All About Youth (AAY) 2019.

Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim berkata, SMIYT berjaya menewaskan lima buah sekolah lain yang merupakan wakil bagi negeri Sabah, Sarawak, Terengganu, Melaka dan Johor dengan projek CO2NCER  yang berfungsi membekalkan maklumat berkenaan suhu, kadar kepekatan asap, kelajuan angin dan koordinat lokasi secara tepat kepada pasukan bomba dan penyelamat melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Katanya, kebijaksanaan dan kreativiti yang ditonjolkan 20 pelajar yang mewakili kumpulan 'Victornity' dalam tempoh 11 minggu pertandingan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000 pada majlis pengumuman pemenang Pertandingan Sentuhan Harapan (AAY) 2019 di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh,  Melaka, malam semalam.

“Pada pertandingan tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, Sabah menduduki tempat kedua yang menerima hadiah wang tunai RM10,000 diikuti SMK Tun Habab, Johor di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM5,000.

Sekolah SMK St. Francis, Melaka dan SMK Asyakirin, Sarawak pula masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima yang membawa pulang hadiah sagu hati,” ujarnya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pejabat Yayasan Terengganu, hari ini.

Ishamudin berkata, kejayaan projek CO2NCER yang dipimpin Nur Farah Ismahani Mohd Faizal dan Muhammad Hilmi Mohd Nazi itu juga hasil sokongan sukarelawan Petronas atau ‘buddies’, guru-guru serta pihak sekolah yang banyak membantu pelajar bagi membina dan melaksanakan projek kemasyarakatan yang bermatlamat mengurangkan pelepasan karbon kepada alam sekitar itu.

Katanya, AAY yang dianjurkan Petronas sejak 2014 telah disertai lebih 200 buah sekolah dan melibatkan sehingga 4,600 orang pelajar serta 200 projek kemasyarakatan yang berimpak besar telah dihasilkan, antaranya aplikasi telefon pintar nota sejarah, tandas mesra alam dan sistem amaran pengesan banjir.

 “Menerusi AAY, pelajar menjalankan ujikaji, merekacipta dan bekerjasama mencari penyelesaian sekaligus mempamerkan keupayaan pelajar mengguna pakai sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk solusi jaminan masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: