Sunday, 18 August 2019

Setiu Perlu Dibangunkan Segera – MB Terengganu

SHARE

Ahmad Samsuri menanam pokok durian musang king sebagai simbolik penjenamaan semula Dusun Nukleus Pelong.
SETIU, 18 Ogos – Setiu merupakan antara tiga daerah yang perlu dibangunkan secara drastik bagi mengembangkan ekonomi penduduk di sana, selain Hulu Terengganu dan Besut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara itu sangat penting bagi mengelakkan jurang ekonomi penduduk dalam dan luar bandar di negeri berkenaan semakin meningkat.

Jelasnya, pembatalan projek East Cost Rail Link (ECRL) di stesen Telaga Papan, Setiu sedikit sebanyak merencatkan perancangan awal pembangunan di sana namun pihaknya akan berusaha memanfaatkan potensi pertanian di kawasan itu.

“Bagi merancakkan pembangunan di Setiu, antara cadangan yang kita kemukakan kepada kerajaan pusat selepas pembatalan stesen ECRL di Telaga Papan ialah pembinaan stesen sementara di sepanjang laluan ECRL dalam daerah Setiu.

“Manakala, di bawah kerajaan negeri pula, kita akan cuba cari ruang (untuk tingkatkan pembangunan di daerah ini) tetapi mengikut kemampuan semasa kita,” ujarnya.
Kata Ahmad Samsuri, kekayaan hasil bumi dan kesuburan tanah di Setiu akan dimanfaatkan sebaik mungkin kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pesta Makan Buah-Buahan di Dusun Nukleus Pelong, Kampung Pelong, di sini semalam.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Sophian Abu Bakar dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof.

Terdahulu, Ahmad Samsuri turut merasmikan Program Pelepasan Benih Ikan Lampam ke Perairan Umum Pelong, Sungai Tong dengan kerjasama Pejabat Perikanan Daerah Setiu dan Jawatankuasa Taman Pelancongan Konservasi Kelah Kampung Pelong.

Beliau memberi komitmen untuk membina Jeti baharu di kawasan Perairan Umum berkenaan yang menjadi tempat pembiakan ikan kelah dan ikan lampam.

“Tadi saya telah maklumkan kepada pegawai daerah Setiu supaya dapatkan sebut harga untuk dibuat jeti yang lebih berkualiti menggantikan jeti kayu yang sedia ada,” tambah beliau.
Melepaskan 200 ekor ikan kelah dan 1,000 ekor ikan lampan ke sungai.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: