Thursday, 29 August 2019

Semai Semangat Patriotik Sejak Kanak-kanak

SHARE


Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 29 Ogos- Kanak - kanak perlu disemai semangat patriotik dan jati diri agar tidak mudah terpengaruh dengan budaya asing yang jauh terpesong daripada adat ketimuran.

Atas kesedaran itu, lima buah tadika persendirian di Dungun bergabung mengadakan Merdeka Kids Explorace sebagai usaha memupuk semangat cintakan negara di dalam diri kanak-kanak seawal empat tahun.

Setiausaha program, Mazila Mohamad berkata, lima tadika tersebut ialah Tadika Soleh Aulad Dungun, Tadika Nur Iman Bestari, Tadika Junior Iman, Tadika Teras Bestari dan Tadika Cemerlang Al Abrar.

"Program ini disertai oleh pelajar tadika daripada usia empat dan lima tahun untuk pertandingan mewarna dan untuk yang enam tahun, explorace di mana 'check point' nya mencantumkan 'puzzles' bendera Malaysia," jelasnya.

Mazila yang juga pengusaha  Tadika Soleh Aulad Dungun berkata demikian ketika ditemui wakil media di program yang julung kali diadakan itu yang yang berlangsung di Taman Poket, kelmarin.


Menurutnya lagi, program tersebut juga diisi dengan kuiz menguji minda kanak-kanak berkenaan tentang Malaysia dan Terengganu yang terbuka kepada semua peringkat umur.

"Memang setiap pagi kita akan bersoal jawab dengan mereka warna-warna yang terdapat pada bendera Malaysia, bendera Terengganu, bunga raya, bunga kebangsaan, nama Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Besar Terengganu," ujarnya.

Oleh itu, katanya, mereka dapat menjawab soalan yang ditanya secara spontan kerana sudah terpasak di dalam fikiran masing-masing.

Manakala isteri Ahli Parlimen Dungun, Siti Zaliha Mohamad ketika berucap di majlis perasmian, memuji program tersebut yang berjaya melahirkan rasa kecintaan kepada negara ketika kanak-kanak  diusia tersangat muda.

"Mereka  tahu apa itu hari kebangsaan," ujarnya.

Disamping itu, isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood  turut melahirkan rasa teruja dengan kebolehan kanak-kanak tadika terlibat menjawab kuiz secara spontan.

"Kebolehan anak-anak ini menyerlahkan pengetahuan mereka tentang negara, mereka berebut - rebut untuk menjawab sedangkan kalau kita perhatikan hari ini, orang yang lebih dewasa daripada merekapun tidak berjaya menjawab soalan demikian," ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: