Saturday, 3 August 2019

‘Selamat Kembali Ke Pangkuan, Bagaikan Mati Hidup Semula’ - Ariffin Deraman

SHARE
Ariffin (kanan) mendengar taklimat berkenaan kehilangan tiga pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol, di Jeti Kampung Rajawali Pulau Serai Dungun hari ini.
DUNGUN, 3 Ogos - Kerajaan negeri menzahirkan kesyukuran atas kepulangan tiga orang pekerja sebuah resort di Pulau Tenggol ke pangkuan keluarga masing-masing setelah selamat ditemui 112 kilometer dari sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman berkata, ketiga-tiga pekerja resort berkenaan telah dihanyutkan hingga ke perairan Vietnam dan telah dibawa pulang dan dijangka sampai ke Dungun pada 10 malam ini.

“Malam semalam, kita telah mengadakan solat hajat, Allah Ta’ala telah menunaikan hajat kami dan Alhamdulillah mangsa yang hilang itu telah dijumpai.

“Saya telah bertemu dengan bapa mangsa berkenaan dan mereka sangat gembira kerana anak mereka ditemui seperti mati hidup semula,” kata Ariffin ketika melawat Markas Operasi Penyelamat di Jeti Kampung Rajawali Pulau Serai, di sini hari ini.

Terdahulu, tiga pekerja resort yang dilaporkan hilang di kawasan perairan Pulau Tenggol, Rabu lalu ditemui selamat, hari ini.

Bot gentian kaca yang dikendalikan Fauzi Mohamad, 40, Muhammad Firdaus Mohd Awalluddin, 25, serta pekerja resort, Mohamad Hafiz Abd Rahim, 22, ditemui kira-kira 1 pagi tadi.

Bot berkenaan yang dipercayai mengalami kerosakan enjin dan hanyut ditemui kira-kira 112 batu nautika dari Dungun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintendan Mohamad Zohan Seman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan itu.

Menurutnya, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun menerima panggilan kira-kira 1 pagi daripada penyelia pelantar minyak Bunga Orkid milik PETRONAS yang memaklumkan penemuan ketiga-tiga mangsa.

"Penyelia terbabit memaklumkan kapal nelayan milik warga Thailand membawa tiga mangsa ke pelantar berkenaan selepas bot dinaiki mereka mengalami kerosakan.

“Tiga mangsa mengaku mereka adalah pekerja syarikat di Pulau Tenggol dan mereka dilaporkan sihat," katanya ketika dihubungi di Dungun, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa kini berada di pelantar minyak berkenaan untuk diberi rawatan termasuk diberi makanan dan minuman.

"Saya dimaklumkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan mengambil tindakan dengan menggerakkan aset untuk mengambil mangsa.

“Kita sedang menunggu mangsa tiba dan setakat ini masih belum dipastikan sama ada mereka akan dibawa terus ke Kuala Terengganu atau Dungun.

“Dengan penemuan mangsa, pusat gerakan operasi mencari dan menyelamat yang dibuka di Jeti Kampung Rajawali Pulau Serai ditutup,” katanya.

Dalam kejadian Rabu lalu, bot pelancong dinaiki dua pemandu bot serta seorang pekerja resort tidak sampai ke resort Pulau Tenggol selepas berlepas dari jeti Kampung Rajawali Pulau Serai pada 12 tengah hari.

Mereka dikatakan dalam perjalanan menghantar bekalan makanan ke resort berkenaan.

Pihak pengurusan resort membuat laporan di IPD Dungun pada 4 petang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: