Monday, 5 August 2019

Sahut Terengganu Bersih, Jangan Kotori - ADUN Wanita

SHARE

KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Kerajaan Terengganu komited meneruskan agendanya iaitu maju, berkat dan sejahtera, antaranya dengan mengadakan program gotong-royong dalam usaha menjaga kebersihan kawasan setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, program tersebut diadakan untuk menyahut slogan ‘Kuala Terengganu Bersih, Jangan Kotori’.

Menurutnya, ia merupakan siri pertama diadakan di kawasan tersebut dan akan menjadi program berkala.

"Hari ini kita turun untuk menyatakan kebersamaan kita dalam menyahut seruan kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu negeri yang bersih.

“Kita yang berada di sekitar kawasan Kuala Terengganu juga terpanggil untuk menjaga persekitaran terutamanya di Pantai Batu Buruk yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Dan insya-Allah kita akan sasarkan  tempat yang menjadi tumpuan ramai  contohnya berdekatan Drawbridge, Taman Shahbandar dan Lagun Kuala Ibai,” jelasnya.


Beliau yang juga Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kuala Terengganu berkata demikian ketika dihubungi semalam.

Oleh itu, kata beliau, aktiviti tersebut akan dijadikan satu program khas ADUN Wanita di seluruh negeri dan tempat yang disasarkan adalah pesisir pantai.

Beliau berharap agar orang ramai dapat turun padang bersama-sama untuk menjayakannya pada bila-bila masa dan di mana jua.

“Tahniah kepada semua yang turun padang dan menzahirkan rasa tanggungjawab untuk memastikan negeri Terengganu menjadi negeri yang bersih selaras dengan hadis Nabi Muhammad S.A.W,” ujarnya.

Program tersebut bermula pada 7.30 pagi dengan disertai oleh beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Kuala Terengganu seperti KT Care, Skuad Khidmat, Gabungan Mahasiswa Terengganu (PERMATA), Unit Amal dan Ameerah.


“Alhamdulillah seramai 87 orang sukarelawan terlibat dalam melaksanakan kerja amal ini,” tambah beliau lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: