Tuesday, 20 August 2019

RM6.8 Juta Kos Kendali 9 SRIDI Setahun

SHARE
 
Ustaz Satiful Bahri Mamat
                                                     
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Kerajaan Negeri akan membuka Tiga buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) lagi Januari tahun depan, masing-masing sebuah di Permaisuri, Setiu, Kerteh 1, Dungun dan Kijal, Kemaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ini menjadikan sembilan buah SRIDI dibuka bagi menunaikan janji manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Katanya, kos keseluruhan untuk mentadbir urus semua SRIDI berkenaan dianggarkan berjumlah RM6.8 juta setahun.

Ini termasuk RM3.4 juta untuk mengendali dan menyelenggarakan tiga SRIDI baharu tersebut.

Bangunan SRIDI Paka di Sekolah Agama Rakyat, Felda Kerteh 1, Dungun.

Menurut beliau pelajar-pelajar baharu dan pelajar tahun satu dari SRIDI sebelum ini boleh berdaftar di sekolah berkenaan.

“Pendaftaran untuk pelajar baharu boleh dibuat secara dalam talian di portal sridionline.terengganu.gov.my,” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu berkata, setiap SRIDI akan membuka dua buah bilik kelas dengan sembilan tenaga pengajar serta pengurusan sekolah.

“Kerajaan akan membuat pengambilan baru tenaga pengajar dengan sesi temuduga seterusnya kursus induksi selama dua minggu akan diadakan tidak lama lagi,” jelasnya.

Katanya, Kerajaan Terengganu telah membuka enam buah SRIDI awal tahun ini masing-masing sebuah di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun; Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Hulu Terengganu) dan Kampung Raja (Besut).

Katanya, SRIDI Permaisuri ditempatkan di Wisma Yayasan Islam, Bandar Permaisuri, Setiu, SRIDI Kemaman di bangunan baharu Kijal manakala SRIDI Paka di Bangunan Sekolah Agama (SA) Rakyat  Felda Kerteh 1, Dungun.

Sementara itu di Setiu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Ustaz Zul Bhari A Rahman ketika ditemui pemberita berkata SRIDI Permaisuri akan ditempatkan di Bangunan Wisma Yayasan Islam Bandar Permaisuri dengan pengambilan seramai 50 orang pelajar tahun satu.

Kataya, sebanyak tiga pintu bangunan pejabat akan disewa dan sedikit penambahbaikan akan dilakukan bagi memberi keselesaan dan memastikan keselamatan pelajar lebih terjamin.

"Kita memilih Bangunan Wisma Yayasan Islam kerana lokasi yang strategik di Bandar Permaisuri, memandangkan bangunan ini masih baru dan kita telah mengadakan sesi lawat tapak baru-baru ini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, satu taklimat telah diadakan kelmarin oleh Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Sahari Anwar Haji Ahmad menerangkan perjalanan dan pengurusan SRIDI kepada Kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat dan i-MiTS DUN Permaisuri.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: