Thursday, 8 August 2019

Projek Perumahan Padang Setengge Dijangka Siap Akhir Tahun Ini - Dr. Mamad Puteh

SHARE



Oleh : Hanif Hamdan

Kuala Terengganu, 7 Ogos - Projek Perumahan Padang Setengge, Kuala Berang bagi fasa tiga dan empat yang terbengkalai sejak sekian lama, dijangka siap pada akhir tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh berkata, projek perumahan yang terbengkalai ini akan disiapkan secepat mungkin.

"Projek ini dijangka akan disiapkan pada akhir tahun ini. Untuk makluman, fasa satu dan dua telah disiapkan sepenuhnya manakala fasa tiga yang berjumlah sebanyak 124 unit telah siap 80 peratus, dan fasa empat sebanyak 110 unit telah selesai 60 peratus sewaktu pemerintahan kerajaan terdahulu, namun selepas itu ia terbengkalai," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Darul Iman tengah hari, semalam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, pemilik rumah diminta bersabar berikutan projek tersebut perlu mengambil sedikit masa, dan perlu disiapkan mengikut fasa yang ditetapkan.

"Hari ini (semalam), pihak kontraktor iaitu Sumai Engineering Sdn Bhd cuba menyelesaikan terlebih terdahulu, sebanyak 81 unit rumah yang terbengkalai untuk diberi sijil siap dan pematuhan.

"Sekarang ini dalam proses perbincangan dengan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) untuk mendapatkan sijil tersebut. Saya harap, pemilik rumah dapat bersabar sedikit masa lagi untuk menunggu sijil siap dan pematuhan disiapkan dan sementara itu, kerja-kerja yang lain pula akan dijalankan secara berfasa," katanya.

Menurutnya lagi, kos membaik pulih dan menyiapkan Projek Perumahan Padang Setengge ini dianggarkan bernilai di antara RM8.5 juta hingga RM10 juta.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: