Friday, 16 August 2019

Pesta Kutip Kepah Acara Tahunan Sungai Buaya

SHARE
Orang ramai kelihatan gembira mengutip kepah di Sungai Buaya.

Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 16 Ogos – Warga Dungun dan sekitarnya menjadikan Acara Mencari Kepah di Sungai Buaya, 2 kilometer dari sini sebagai acara tahunan popular Daerah Dungun.

Kepah sejenis kerang-kerangan dari keluarga ‘invertebrat akuatik’ yang hidup dalam air sungai itu banyak terdapat di sekitar 300 meter persegi di muara sungai tersebut, kini menjadi buruan penduduk sekitar khususnya dalam bulan Ogos ini.

Mereka berduyun-duyun ke sungai itu untuk mengutip kepah dengan menggunakan tangan dan menangguknya dengan menggunakan bakul jarang terutama di waktu petang dan hari minggu.

Situasi tersebut boleh disifatkan sebagai satu pesta mengutip kepah yang menyeronokkan di sungai berkenaan.

Hidupan sungai berukuran lilit 10.2 sentimeter seekor itu boleh dijadikan sebagai lauk pauk yang menyelerakan bagi penggemar makanan akuatik itu termasuk dengan membakar atau berebus atau dimasak gulai cili api.
 
Muhammad Syazwan (kiri) dan rakannya Khairil Azizi memperlihatkan hasil tangkapan kepah diperoleh mereka di Sungai Buaya.
Seorang pengunjung, Muhammad Syazwan Hamzah, 22 berkata beliau berada di tepi tebing sungai itu selepas solat asar bersama pengunjung lain.

Bagaimanapun dengan seorang rakan lain lebih gemar mengutip di tengah sungai yang airnya kira-kira 0.91 meter sahaja.

“Saya menumpang bot nelayan tempatan untuk ke tengah sungai mengutip kepah di kedalaman air 0.91 meter dengan cara menangguk kepah menggunakan bakul plastik berlubang.

“Biasa saya dapat antara seekor dengan lima ekor kepah sekali tangguk dan acap kali juga tak dapat apa-apa,” katanya.

Beliau yang juga pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), berkata, ini adalah pengalaman pertama beliau dan berasa teruja melihat dan merasai sendiri cara mengutip kepah.

"Inilah pengalaman pertama saya untuk pergi ke tengah sungai menangguk kepah dan kebetulan pula saya sedang cuti semester hari ini (kelmarin).

“Sebelum ini, saya hanya makan kepah di kedai-kedai di Pantai Sura Jeti dekat sini tetapi hari ini saya mengutipnya sendiri dengan menggunakan tangan dan bakul berlubang,” ujarnya.

Beliau yang berasal dari Kampung Gong Pasir di sini berkata demikian ketika ditemui pemberita  di tebing sungai tersebut petang kelmarin.

Sementara itu, rakan sekolejnya, Khairil Azizi Azman Jailani 22, berkata para mahasiswa yang sedang bercuti perlu memanfaatkan waktu terluang dengan menyertai penduduk setempat mencari kepah.

“Itu satu acara menarik dan menyeronokkan yang perlu dimanfaatkan pelajar seperti saya,” jelasnya.

Kedua-dua pelajar UTeM itu berjaya mengutip hampir dua kilogram kepah sekitar dua jam berendam dalam air sungai itu, setelah menumpang sebuah bot fiber nelayan tempatan.

Khairil Azizi berkata, bahawa beliau lebih suka merebus kepah untuk dimakan dengan sos cili sekali gus aura bau dan rasanya cukup lazat dan menyelerakan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: