Wednesday, 7 August 2019

Pesakit Strok Terharu Terima Kunjungan Wakil PK-NERUS

SHARE


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 7 Ogos- Seorang pesakit strok Hamdillah Mohd, 58, terharu menerima kunjungan wakil Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) di kediamannya di Kampung Kubang Badak, semalam.

Isteri Hamdillah, Fatimah Abdullah, 62, berkata, suaminya itu kini terpaksa mengharapkan bantuannya dan empat orang anak untuk menguruskan diri.

“Suami saya telah mengalami strok dan terpaksa dibedah bagi membuang darah beku di kepalanya setahun yang lalu.

“Selepas pembedahan tersebut, dia tidak mampu lagi bertutur seperti biasa dan hanya boleh difahami oleh saya dan anak-anak,” ujarnya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada program Program Ziarah Mahabbah Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus yang diketuai oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus,Wan Yusrizal Wan Shafii.

Turut sama dalam lawatan tersebut, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kubang Badak, Wan Abdul Halim Wan Long dan Pegawai-pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Pada kunjungan tersebut, Wan Yusrizal turut memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada Hamdillah sekeluarga agar bersabar dengan ujian Allah.

Program Ziarah Mahabbah merupakan program rutin PKAPKN yang dilaksanakan pada setiap minggu bermula dari jam 9.30 hingga 10.45 pagi.

PKAPKN juga menyalurkan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga-keluarga yang dilawati.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: