Sunday, 4 August 2019

Pertanian Perniagaan Menguntungkan - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Kerajaan negeri berhasrat mengeluarkan masyarakat desa yang sebelum ini ‘allergic’  atau memandang pertanian yang dikaitkan dengan kemiskinan kepada sesuatu perniagaan yang menguntungkan  dengan menggunakan hasil tanah-tanah kerajaan negeri dan juga peningkatan teknologi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sangat serius untuk melaksanakan pelan pertanian di Terengganu kerana negeri ini mempunyai 251,000 hektar tanah yang sesuai dengan pertanian di mana sekitar 12,000 hektar masih terbiar dan belum diusahakan.

“Kita berharap untuk melaksanakan perancangan ini dengan data-data tanah pertanian yang belum dan boleh digunakan.

“Ini (jumlah tanah) sangat banyak dan kita percaya sekiranya kita memaksimakan penggunaan, libatkan penyertaan daripada petani, kita akan berjaya  mengeluarkan mereka ini daripada menjadi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Mereka dapat menjadikan pertanian sebagai  satu perniagaan  yang boleh mendatangkan keuntungan yang besar kepada diri dan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' Bentara Dalam; Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim dan barisan Exco Kerajaan Negeri.


Seramai 1,800 jemputan yang terdiri daripada Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), petani, penternak dan nelayan dari seluruh negeri hadir ke majlis tersebut.

Pelan strategik pertanian mengariskan enam teras yang mengandungi sebanyak 61 strategi dengan 128 program yang dirancang dalam tempoh lima tahun.

Ahmad Samsuri berkata, sebagai salah satu sektor yang menyumbang kepada ekonomi negeri, satu laporan mengenai perkembangan pelan berkenaan perlu dihantar secara berkala.

“Laporan ini untuk tengok perjalanan sama ada terdapat masalah atau tidak atau secara bersama apa yang boleh dibuat oleh kerajaan untuk cari jalan sekiranya memerlukan campur tangan dan kerjasama dari Kerajaan Pusat serta Kementerian Pertanian.

“Sekiranya ada, maka kita akan hubungi dan berbincang dengan pihak Kerajaan Pusat untuk selesaikan masalah tak kira dari segi penyakit, bahan mentah dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap golongan muda atau Agropreneur Muda dapat menyahut seruan kerajaan dan bergerak aktif menceburkan diri dalam sektor pertanian, perikanan dan penternakan sebagai kerjaya utama atau kerjaya sampingan untuk menambah pendapatan.

“Kita ingin megubah minda yang dahulunya melihat pertanian kerana tak dapat kerja di tempat lain.

“Minda perlu diubah kerana pada zaman yg mencabar ini, nak dapat peluang pekerjaan, pertanian antara cabang yang terbaik,” katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: