Tuesday, 6 August 2019

Peringatan Kepada Pemilik Haiwan Ternakan

SHARE


Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 5 Ogos-  Pemilik haiwan ternakan di kawasan perkelahan Bukit Besi khususnya diminta agar lebih bertanggungjawab menjaga dan mengawal selia ternakan mereka supaya tidak berkeliaran di sepanjang jalan raya destinasi pelancongan itu.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, pihaknya memandang serius rungutan pengguna jalan raya ke tempat perkelahan Bukit Besi mengenai perkara tersebut.

Katanya,  pemilik haiwan ingkar bakal berdepan amaran dan tindakan tegas oleh Majlis Perbandaran Dungun (MPD) kerana fenomena tersebut bukan sekadar menjejaskan pemandangan malah berisiko mengundang bahaya.

“Bagi menjadikan Bukit Besi relevan dengan destinasi pilihan pelancong, perkara berkenaan akan segera dimaklumkan kepada pemilik haiwan ternakan supaya bertindak segera mematuhi arahan.

"Kita juga akan keluarkan surat amaran melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) agar sampai kepada pemilik haiwan ternakan selain pengumuman melalui masjid dan surau supaya penduduk menjaga haiwan ternakan mereka dengan baik sekiranya tidak mahu dikenakan sebarang tindakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai rungutan orang ramai terhadap lembu berkeliaran ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, semalam.

Katanya, Bukit Besi semakin mencuri tumpuan dan mula dikunjungi ramai dengan adanya lokasi perkelahan semulajadi seperti Lubuk Kain, Sungai Kelemin, Cemerong, dan sebagainya.

"Pihak kita juga mencadangkan agar diwujudkan jawatankuasa khas kebersihan jalanraya kepada MPKK yang terlibat dengan menyediakan penyodok untuk membuang najis haiwan ternakan terbiar,” ujarnya

Tambahnya lagi, dengan usaha yang bakal dijalankan itu pastinya akan menarik lebih ramai pengunjung untuk melakukan aktiviti riadah di Bukit Besi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: