Wednesday, 7 August 2019

Penjawat Awam Perlu Adaptasikan Alam Digital

SHARE

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Penjawat awam dari semua agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini harus berupaya mengadaptasikan diri dalam landskap perkhidmatan awam yang berlandaskan alam digital agar terus kekal relevan.

Tengku Seri Bijaya Raja Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) berkata, bagi memastikan mereka sentiasa bersiap sedia, penjawat awam di pelbagai peringkat dan merentasi skim perlu diberi pendedahan serta dilengkapkan dengan keupayaan dan kemahiran digital.

“Bagi program perubahan Digital Government Competency and Capability Readiness (DGCCR) yang diterajui oleh Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, pentadbiran kerajaan negeri memberikan sepenuh kepercayaan dalam merangka modul dan latihan secara komprehensif kepada penjawat awam di negeri ini untuk merancakkan lagi aplikasi digital dalam melaksanakan tugasan secara efektif.

“Antara program latihan kini secara digital adalah E-Pembelajaran Sektor Awam (E-PSA) dengan 274 kursus berdaftar dan 633,274 orang pengguna berdaftar.

“Selain itu, pentadbiran ini juga telah mengikuti kursus Blue Ocean Strategy (BOS) secara 'online' yang diselaraskan oleh pihak INTAN,” ujarnya ketika berucap menyempurnakan perasmian Program Pengurusan Perubahan Digital Government Competency and Capability Readiness (DGCCR) Zon Timur di Wisma Darul Iman, hari ini.


Katanya, Bahagian Penyelidikan, Perancangan dan Dasar, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia juga diharap dapat memberikan ruang dan peluang secukupnya melalui latihan secara berfokus kepada penjawat awam di negeri ini dalam meningkatkan penggunaan digital semasa menjalankan tugas seharian.

“Dengan perubahan yang bakal dilaksanakan, saya amat yakin perkembangan pentadbiran akan lebih efektif dengan penjimatan kos yang minimum tetapi memberikan impak yang amat berkesan di dalam pentadbiran kerajaan.

“Perubahan ini perlu kita hadapi secara kolektif dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan menuju sebuah negeri yang Maju, Berkat dan Sejahtera,” ujarnya.

Tambah beliau, melalui pelaksanaan, inisiatif DGCCR juga diharap dapat memberi persediaan dan mewujudkan kesedaran penjawat awam agar sentiasa bersedia mengadaptasikan dunia baharu sebagai elemen untuk membantu mereka memberi perkhidmatan yang terbaik.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: