Thursday, 15 August 2019

Pemimpin DAP Perlu Jumpa Sendiri Dr Zakir Naik

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (dua dari kiri), di Majlis Ceramah Perpaduan Ummah di Taman Shah Bandar Kuala Terengganu malam ini.

KUALA TERENGGANU, 15 Ogos - Pimpinan DAP sepatutnya berdepan sendiri dengan Pendakwah Antarabangsa dari India Dr Zakir Naik di Kelantan baru-baru ini untuk menyatakan dakwaan kononnya beliau seorang ekstrimis.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bagaimanapun mereka terbabit tidak berbuat demikian.

Justeru katanya, desakan agar Dr Zakir dihantar pulang ke India satu tindakan yang tidak adil dan bersifat rasis serta bercanggah dengan rasionalisasi pemikiran manusia.

Beliau berkata, yang mendukacitakan ialah ahli-ahli politik dari Pakatan Harapan (PH) yang berbangsa Melayu turut menyokong desakan pemimpin-pemimpin DAP itu.

Katanya, Dr Zakir adalah pendakwah antarabangsa, berdakwah berdasarkan kepada hujah ilmiah dan tidak pernah menghina agama lain.

"Dia sekadar mengeluarkan hujah. Kalau kita tidak bersetuju dengan hujahnya, sila lawan hujahnya," katanya ketika berucap di Majlis Ceramah Perpaduan Ummah di Taman Shah Bandar di sini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pusat, Aminuddin Yahya, Pengerusi UMMAH Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abbas dan beberapa kepimpinan UMMAH lain.

Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam berkata, pemimpin DAP terbabit termasuk Lim Kit Siang dijemput oleh kerajaan Kelantan datang ke negeri itu untuk berhujah dengan Dr Zakir tetapi amat mendukacitakan mereka berkenaan tidak hadir di Stadium Sultan Muhammad Ke IV untuk berbuat demikian.

Wan Sukairi menambah, walaupun kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan didominasikan oleh orang Islam tetapi DAP cukup berpengaruh dalam kerajaan tersebut.

"Pengaruh DAP dapat dilihat dalam menentukan mata pelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular (berasaskan bahasa ibunda). Ia dibenarkan apabila Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersetuju diajar di sekolah berkenaan.

"Jika PIBG tidak setuju maka ia tidak boleh diajar di sekolah tersebut," ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: