Monday, 5 August 2019

Pelajar TATIUC Timba Pengalaman Di Jongok Batu Melalui CSR

SHARE
Ghazali Sulaiman berucap menyempurnakan perasmian Program Tanggungjawab Sosial Komuniti.
Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 4 Ogos - Seramai 90 orang pelajar Kolej Universiti TATI (TATIUC) berpeluang merasai pengalaman baharu apabila terlibat dengan program  Tanggungjawab Sosial Komuniti (CSR) di Kampung Jongok Batu.

Kesemua yang terlibat merupakan bakal pelajar tahun dua di kolej berkenaan melalui Persatuan Institut Pertahanan Awam (PISPA) di dalam kursus Kejuruteraan Asasi bersama dengan 50 orang Angkatan Pertahanan Awam Daerah Dungun dan Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kemaman.

Salah seorang Pelajar TATIUC, Mohd Zulfikri Halizi, 18, berkata, ianya memberi satu pengalaman berharga kepada beliau kerana belum pernah menjejakkan kaki ke kampung tersebut.

"Kami semua baru sahaja habis peperiksaan akhir tahun satu, selama ini tidak pernah dengar tentang Kampung Jongok Batu, melalui PISPA ini dapatlah merasai dan mengenali orang sini melalui aktiviti kemasyarakatan sebegini, mempelajari bagaimana cara komuniti di sini bermasyarakat.

"Selain itu dapat bermesra dengan mereka , serta dapat satu pendedahan baharu bagaimana untuk berkhidmat di dalam masyarakat," jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial Komuniti di Kampung Jongok Batu, yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman pada Jumaat lalu.

Turut hadir, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A. Rahman dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jongok Batu, Nordin Ismail.

Program berkenaan merupakan anjuran APM Dungun, APM Kemaman, PISPA TATIUC dengan kerjasama DUN Bukit Besi, Penghulu Mukim dan MPKK.

Gotong royong pada hari berkenaan telah melibatkan kawasan masjid, surau, padang permainan dan seluruh kampung termasuk kawasan Cemerong.

Di antara aktiviti yang turut diadakan adalah perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring yang menyaksikan aksi APM menentang penduduk setempat.


Dalam tumpuan lain, Pengarah APM Negeri, Che Adam A. Rahman berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan penduduk setempat dalam menghulurkan khidmat.

"Di mana kita tahu apabila tibanya musim tengkujuh, Jongok Batu adalah di antara kawasan yang akan menerima musibah banjir.

"Kehadiran kita pada hari ini ingin menjalinkan hubungan yang baik dengan penduduk, dan bukan hanya hadir apabila ditimpa musibah sahaja," jelasnya.

Jongok Batu adalah kampung warisan yang mempunyai keindahannya yang tersendiri, dan menjadi laluan untuk ke kawasan rekreasi Air Terjun Cemerung.

Justeru itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berharap segala keindahan dengan suasana yang segar, indah dan bersih yang ada di Bukit Besi diceritakan kepada orang luar dengan pengalaman yang diperolehi PISPA dan APM.

"Pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kerana memilih Jongok Batu sebagai lokasi pilihan untuk mengadakan CSR.

"Semoga hubungan ini akan diteruskan serta berkekalan, di dalam misi membawa agenda kebaikan bersama yang menguntungkan semua pihak," jelas Ghazali.

Dalam upacara penutup pada hari tersebut, sumbangan telah disampaikan kepada golongan asnaf zakat bagi membantu meringankan bebanan yang ditanggung.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: