Friday, 2 August 2019

Pekerja Resort Hilang: Harap Mereka Ditemui Dengan Selamat - Alias

SHARE

Oleh: Nooreni Abu Bakar

DUNGUN, 2 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berharap kehilangan tiga pekerja Resort Pulau Tenggol sejak tiga hari lalu akan menemui keajaiban dan mereka terselamat.

Fauzi Mohamad, 40, (pemandu bot), Muhammad Firdaus Mohd. Awalluddin, 25, dan Mohamad Hafiz Abd. Rahim, 22, dikatakan masih belum tiba di pulau berkenaan selepas bertolak dari jeti Kuala Dungun kira-kira jam 12.30 tengahari pada hari Rabu.

Alias berkata mereka yang membawa bekalan makanan sepatutnya tiba sejam kemudian, tetapi tidak muncul malah gagal dihubungi oleh pihak pengurusan dan berikutan daripada itu laporan polis telah dibuat.

"Kita berdoa supaya ketiga-tiga mereka ini dapat dikembalikan oleh Allah bertemu dengan keluarga masing-masing.

"Kita telahpun meminta masjid-masjid dalam daerah Dungun ini untuk mengadakan solat hajat memohon supaya disegerakan bertemu dengan mangsa yang hilang ini,"ujarnya.


Beliau  berkata demikian kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika meninjau kerja-kerja mencari dan menyelamat di pos sementara di Jeti Aking, Seberang Pintasan di sini, hari ini.

Turut hadir, wakil Ahli Parlimen Dungun, Mohd Amin Hamid.

Alias turut melahirkan rasa terimakasihnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan kakitangan resort tersebut yang terlibat di dalam usaha mencari mangsa-mangsa.

Menurut beliau, pihaknya juga meminta  Majlis Perbandaran Dungun menyediakan dua buah kanopi untuk keluarga mangsa berteduh dan berehat ketika kerja-kerja pencarian dilakukan.

"Memandangkan cuaca yang panas sekarang, dengan adanya kanopi ini dapat memeri keselesaan kepada mereka," katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: