Monday, 5 August 2019

Pekan Budaya Tonjol Keunikan Seni, Adat Warisan Terengganu

SHARE
Alias Razak melawat gerai-gerai yang terlibat dalam Pekan Budaya Kuala Nerus.
KUALA NERUS, 4 Ogos - Pekan Budaya yang dianjurkan di seluruh daerah dalam Terengganu berperanan untuk menonjolkan keunikan seni dan adat warisan dalam negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, setiap daerah termasuk Kuala Nerus mempunyai seni dan budaya tersendiri yang perlu dipromosikan supaya pelancong dari dalam dan luar negara tertarik dengan Terengganu.

Jelasnya, perkara tersebut juga sangat penting bagi mengelakkan warisan yang ditinggalkan orang-orang terdahulu luput ditelan zaman.

“Budaya kita ditenggelami oleh budaya luar yang datang ke negeri dan negara ini, terutamanya anak-anak muda yang lebih suka dengan hiburan, budaya dan fesyen-fesyen luar.

“Ia sekali gus menjadikan budaya Melayu yang tinggi nilainya ini dilupakan, jadi inisiatif seperti pekan budaya ini adalah untuk mengangkat kembali nilai kebudayaan yang kita miliki,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Jom Singgah Pekan Budaya Kuala Nerus di Pentas Terbuka Pantai Teluk Ketapang, di sini semalam.

Alias Razak berkata, pekan budaya mampu membina masyrakat yang celik budaya.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Zulkifli Ali, Jurutera Daerah Kuala Terengganu, Ir Anuar Ngah dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab.

Dalam pada itu, Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal turut menasihatkan seluruh masyarakat agar menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Jelasnya, kebersihan menjadi keutamaan pelancong sebelum berkunjung ke sesuatu kawasan dan tempat.

“Jika sikap kita tidak mengambil berat kepada kebersihan alam sekitar, ia bakal menjatuhkan imej negeri dan pelancong juga tidak akan berminat datang ke sini walaupun kita mempunyai budaya yang menarik,” tambah beliau.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu mendapat sambutan hebat apabila dihadiri ribuan penduduk setempat dan pelancong luar di samping keterlibatan 26 jabatan dan agensi negeri.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: