Thursday, 29 August 2019

MPKK Terengganu Sentiasa Pamer Kerjasama Terbaik

SHARE
Dr. Azman Ibrahim.

KUALA TERENGGANU,29 Ogos- Ahli-ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sentiasa bersatu dan mempamerkan kerja serta kualiti yang baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, isu perpecahan timbul bukan kerana masalah yang berlaku dikalangan MPKK.

Mengulas dakwaan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Kuala Terengganu yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato’ Zulkifli Mohamad mengenai wujudnya perpecahan dikalangan MPKK Terengganu, Dr. Azman memaklumkan isu sebenar dikatakan berlaku ketika program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat KETENGAH pada 22 Ogos lepas.

"Ketika itu, semua Pengerusi MPKK dalam kawasan Ketengah dijemput hadir dan meraikannya.

"Tapi yang dijemput Pengerusi KETENGAH itu ke pentas untuk menerima Jalur Gemilang ialah Jawatankuasa Tambahan MPKK lantikan Kerajaan Pakatan Harapan dan bukannya Pengerusi.

"Saya berpandangan, di sini wujud unsur mempermainkan pengerusi-pengerusi MPKK dan menunjukkan simbolik beliau tidak mengiktiraf pengerusi yang sah dilantik," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.

Beliau turut menyatakan rasa bimbang atas tindakan kurang matang itu.

"Berpolitik ada batasnya. Tindakan tidak bijak ini akan disusuli dengan tindakan boikot program Ketengah oleh MPKK.

"Saya mohon supaya Pengerusi Ketengah lebih berhati-hati. Jangan rosakkan suasana damai dan harmoni yang wujud di kalangan MPKK Terengganu yang diakui oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebagai antara pengurusan MPKK terbaik dalam negara sekarang," katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: