Thursday, 1 August 2019

Mazlan Bakal Jadi Jutawan Nanas MD2

SHARE


Oleh : Ariss Alias

SETIU, 1 Ogos - Tanaman nanas premium varieti Milie Dilard 2 (MD2) mampu menjana pendapatan lumayan bagi pekebun yang bekerja  sepenuh masa atau sampingan sehingga diibaratkan sebagai antara sumber kekayaan baharu.

Mazlan Abdul Ghani, 46 daripada Kampung Bukit Kecil mampu tersenyum lebar apabila tanaman nanas yang diusahakan beliau secara sampingan di Kelompok Pekebun Nanas Bukit Kecil memberikan pendapatan lumayan.

Beliau yang kini yang bekerja sepenuh masa sebagai penyelia asrama Sekolah menengah Kebangsaan (SMK) Chalok berkata beliau hanya memperuntukkan masa kerja di kebun dari jam 5.00 hingga 7.00 petang dan hari minggu sahaja.

Berkongsi cerita, pada ada peringkat awalnya, dia menanam 40 ribu nanas MD2 pada bulan September 2016 di tanah berkeluasan 1 lot (2 ekar setengah) dan hasilnya dituai pada awal 2017 dengan keuntungan terkumpul pada masa itu dalam RM 150 ribu untuk jual buah sahaja.

“Pokok yang sudah diambil buahnya tadi akan dibiarkan dari tiga hingga empat bulan bagi membolehkan jambul anak pokok keluar untuk dijual. Keuntungan menjual anak pokok sahaja mencecah RM 30 ribu.

" Dicampurkan semua sekali keuntungan berjumlah RM 180 ribu dalam tempoh dua tahun bermula dari tanam hinggalah hasil dituai. RM180 ribu dibahagikan 24 bulan purata pendapatan adalah RM 7,500 sebulan,"kata Mazlan kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui di ladang nanas miliknya, semalam.


Tambahnya lagi, dia pernah tidak menyentuh duit gaji dan segala perbelanjaan hanyalah menggunakan hasil jualan nanas sahaja selama satu tahun tujuh bulan.

Menurut Mazlan,  kelebihan nanas varieti ini adalah kerana mempunyai pasaran yang luas dan mudah serta permintaan adalah tinggi dan tidak mencukupi untuk dalam negeri.

Jelasnya, nanas ini tidaklah sukar dijaga sekiranya menggunakan sistem dan kaedah penjagaan yang baik.

“Berat buah nanas MD2 di Bukit Kecil ini yang mencecah empat hingga lima kilogram (kg) sebiji membuatkan ramai yang berminat dengan keluaran di sini. Sedangkan di tempat lain, berat buah hanya sekitar satu hingga dua kg sahaja,”ujarnya lagi yang turut dibantu tiga anak lelaki.

Mengimbau sejarah mengusahakan nanas secara sampingan ini, dia mula berminat apabila melihat jiran-jiran mengusahakannya di kebun kecil  berdekatan dengan rumahnya.

Mazlan mengambil keputusan untuk mula menanam sebanyak 10 ribu pokok nanas Sarawak dan lima ribu pokok nanas madu.

“Motivasi pada saya pada masa itu ialah kerana nanas madu cepat membuahkan hasil. Saya memperolehi RM 18 ribu pada tuaian pertama.

" Dalam pada itu, ada pekebun ingin menjual tanah, saya buat keputusan menambah aset dengan membeli satu lot tanah yang berkeluasan dua ekar setengah dengan harga RM10 ribu," tambah Mazlan.

Dalam pada itu, bapa yang cekal ini sentiasa menggunakan hasil yang diperolehi bagi membeli tanah dan sekarang tanah yang dimilikinya sudah mencecah enam lot (15 ekar).
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: