Sunday, 18 August 2019

Mat Arab ‘Ketagih’ Durian

SHARE
Dr Mahmoud Ibrahim Essa

Oleh : Ariss Alias

SETIU, 18 Ogos – Minat yang mendalam terhadap durian menarik kehadiran seorang warganegara Mesir ke Pesta Makan Buah-Buahan Bersama Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dusun Nukleus Pelong, di sini semalam.

Dr Mahmoud Ibrahim Essa, yang kini bekerja sebagai pensyarah bahasa Arab di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, beliau tidak menyangka buah yang tiada di negaranya itu sangat menepati seleranya.

Jelasnya, durian adalah makanan rutin hariannya sejak beliau diperkenalkan dengan buah tersebut dan ia boleh diumpamakan seperti kopi.

“Jarang orang arab atau timur tengah yang sukakan buah durian, tapi saya suka mencuba makanan baru dan rasanya sesuai dengan citarasa saya.

“Saya berterima kasih kepada sahabat saya yang sudi mempelawa datang ke sini, saya pasti kembali pada tahun hadapan untuk merasai lagi keenakan durian di Pelong ini,” tambah beliau ketika ditemuramah oleh media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program itu.



Turut hadir dalam program itu, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir, Pegawai Daerah Setiu, Sophian Abu Bakar dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap Azmi Maarof.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pelong, Yahya Mat Zain  yang turut hadir berkata, durian yang ditanam di Dusun Nukleus Pelong dan disediakan pada pesta berkenaan terdiri daripada jenis D24, D123, Duri Hitam dan Musang King.

“Walaupun jenis yang sama ada ditanam di tempat lain, tetapi keadaan tanah subur di kawasan ini memberikan rasa berbeza yang agak unik berbanding durian di kawasan lain.

“Saya yakin kualiti durian di Pelong ini setanding dan malahan lebih baik dengan durian yang ada di pasaran.

“Insya-Allah pihak kami merancang untuk tawarkan pakej menarik untuk mereka yang ingin merasai makan buah durian secara santai di dalam kebun pada tahun hadapan,” tambah beliau lagi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: