Monday, 12 August 2019

Manisnya Ibadah Korban, Pupuk Perpaduan

SHARE

Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 12 Ogos - Ibadah korban bukan sahaja memupuk sikap kerjasama malah  dapat menyuburkan semangat perpaduan melalui aktiviti gotong royong yang dilakukan bersama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, penyertaan penduduk tanpa mengira fahaman politik dan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan mempercepatkan urusan melapah serta pembahagian daging.

“Kita bersyukur kepada Allah S.W.T kerana perancangan majlis korban pada hari ini berjalan dengan lancar bermula pada tujuh pagi dengan menyembelih lembu pertama untuk ambil sebahagiannya untuk dimasak.

“Alhamdulillah pada pukul 9.30 pagi selesai semua proses sembelihan dan melapah dalam keadaan yang licin dan teratur dengan penglibatan seramai 60 orang petugas yang turut dibantu Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta cawangan PAS di sekitar kampung ini yang membanting tulang dan memberikan kerjasama yang sangat baik.

“Sehinggalah daging dapat diagihkan kepada mereka walaupun tidak meliputi semua penduduk di Ajil ini tetapi sekurang- kurangnya kita telahpun berusaha melakukan ibadat korban ini dengan sempurna.

“Apa yang boleh dipuji petugas kita tidak meninggalkan sisa korban begitu sahaja bahkan mereka menyempurnakan tangungjawab membersih tempat sebelum dan selepas majlis dengan sempurna,” katanya kepada  wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Korban di kediamannya Kampung Peroh, di sini, hari ini.


Tambah Maliaman, sembilan ekor lembu dikorbankan dan berharap akan ditambah lagi bilangan lembu pada tahun hadapan supaya daging dapat diagihkan dengan lebih meluas.

“Pada tahun hadapan kita akan buat perubahan yang lebih baik dan akan menambahkan lagi jumlah lembu supaya daging dapat diagihkan dengan lebih meluas supaya ramai penduduk dapat merasainya.

“Apa yang penting masyarakat memahami hikmah di sebalik ibadat korban ini seterusnya   mengeratkan lagi hubungan ukhuwah dan silaturahim antara kita, “ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: