Monday, 5 August 2019

Lif Perumahan Dan Bangunan Tinggi Terengganu Dipantau

SHARE
Dr Alias (dua dari kanan) menyatakan sesuatu kepada beberapa orang pegawai PMINT dan pihak pengurusan Pangsapuri Ladang Tok Pelam ketika tinjauan dibuat baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 5 Ogos - Kerajaan negeri mengesahkan tiada sebarang kejadian lif terputus seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi Kuala Lumpur di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, lif di PPR Kampung Kerichi adalah lif lama serta perumahan dan lif itu sudah wujud berpuluh-puluh tahun lalu.

Sementara itu, perumahan bertingkat yang menggunakan lif di Terengganu kebanyakannya baru dibina termasuk Pangsapuri Ladang Tok Pelam dan PPR Padang Hiliran di sini.

Katanya, lif di bangunan tersebut diselenggara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Setakat ini tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti di Kampung Kerinchi itu, namun kerajaan sentiasa memantau semua lif perumahan di negeri ini supaya diselenggara mengikut SOP yang telah ditetapkan kerajaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berhubung dengan penambahbaikan sistem kawalan keselamatan di pangsapuri tersebut, Dr Alias berkata, beliau akan mendapatkan maklumat lengkap dari pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PIMNT) tidak lama lagi.

Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, kerajaan negeri akan menambah baik sistem lif di Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini dalam masa terdekat bagi kemudahan dan keselamatan penghuni pangsapuri berkenaan.

Untuk itu katanya, kerajaan negeri mencadangkan supaya pengurus pangsapuri (PMINT) memasang televisyen litar tertutup (cctv) dalam lif dan sebuah loceng penggera diletakkan dalam bilik pengawal keselamatan pangsapuri tersebut.

Di samping itu katanya, PMINT dicadangkan supaya memasang sistem pemantauan 'online' yang dihubungkan kepada pegawai berkenaan serta pihak pengurusan pangsapuri bagi memastikan sistem lif sentiasa dipantau dengan berkesan.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan dibuat di pangsapuri berkenaan baru-baru ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: