Saturday, 31 August 2019

Kukuhkan Semangat Perpaduan Dan Patriosme Demi Negara

SHARE

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Semangat perpaduan dan integrasi nasional merupakan senjata  terpenting yang perlu dimiliki dan pelihara dalam memperkukuhkan lagi semangat patriotisme di kalangan rakyat kepada negara yang tercinta.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang unik dan menjadikannya istimewa dan terbilang di mata dunia.

Katanya, ini bukanlah masanya untuk rakyat berpecah-belah dan saling berbalah.

"Walau apa jua dugaan yang datang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus terus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional.

"Pahatlah perasaan kasih sayang yang kukuh kepada negara Malaysia dengan harapan agar amanah bangsa yang dipikul bersama menjadikan Malaysia berteraskan budi pekerti yang indah, berintegriti dan jujur menjadi amalan kehidupan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ambang Merdeka Sempena Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Terenggganu, semalam.

Tambah Ahmad Samsuri lagi, perpaduan dan integrasi nasional yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan dahulu lagi juga perlu diteruskan.

"Ia harus disemai supaya negara ini terus berada di dalam arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk dinikmati oleh generasi seterusnya," katanya.

Beliau juga menggesa generasi muda pada hari ini untuk ‘menghargai dan menghayati’ erti kemerdekaan sebagai pewaris bangsa untuk generasi akan datang.

"Tugas kita pada hari ini adalah memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki ini dapat dipertahankan dan dikekalkan.

"Tanpa ilmu pengetahuan yang tinggi, kemerdekaan yang kita bangga dan agongkan sebelum ini akan menjadi kenangan," kata Ahmad Samsuri lagi.

Beliau juga berkata sebagai bakal pewaris negara, mereka perlu sentiasa berjiwa besar, bersemangat kental, penuh semangat patriotik seterusnya mewariskan kemerdekaan ini kepada generasi yang akan datang hingga ke hujung nyawa mereka.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: