Thursday, 8 August 2019

Kuala Terengganu Bandar Raya Selamat Bukan Angan Kosong - Amzad Hashim

SHARE
Amzad Hashim (kiri).

Oleh : Ammar Rozlan

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Tekad untuk menjadikan Kuala Terengganu sebagai sebuah bandar raya selamat bukan angan-angan kosong sebaliknya ia akan diusahakan dengan pelbagai strategi ampuh.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, dalam satu mesyuarat bersama Jawatankuasa Perhubungan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) kelmarin, isu pengedaran dan penagihan dadah antara perkara hangat yang dibangkitkan.

Jelasnya, perkara tersebut merupakan antara punca berlakunya suasana tidak harmoni  dalam kalangan masyarakat di negeri berkenaan.

“Isu dadah adalah cabaran terbesar dan menyumbang kepada jenayah indeks yang lain.

“(Diharapkan) dengan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan misi MCPF di peringkat negeri Terengganu akan menambah nilai dalam perjuangan membanteras jenayah,” ujarnya dalam perbincangan tersebut.
Perbincangan untuk mengurangkan masalah jenayah di Kuala Terengganu.
Turut hadir, Ketua Polis Terengganu merangkap Pengerusi MCPF, Dato’ Aidi Ismail, Naib Pengerusi I MCPF Terengganu, Noor Halim Nordin, Naib Pengerusi II MCPF, Dato' Wan Mohd Al Bakri Wan Md Noor dan Bendahari MCPF, Ahmad Izani Ab Ghani.

Jelas Amzad lagi, kerjasama berkenaan bukan hanya menjamin persekitaran yang aman dan selamat untuk semua rakyat Terengganu tetapi ia turut mampu menarik pengunjung untuk ke negeri tersebut.

Beliau juga mengharapkan melalui MCPF segala isu jenayah akan dapat dibanteras ke arah menjadikan negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

“Sebelum ini dengan kerjasama bersama Persatuan Kepolisan Komuniti Durian Burung (PKKDB) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kita telah berjaya menyelesaikan satu masalah lumba haram yang sangat serius satu ketika dahulu di Kuala Terengganu,” ujarnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: