Wednesday, 28 August 2019

Kerajaan Negeri Sedia Timbangkan Baik Pulih Bangunan Lama SMK Landas

SHARE






Oleh : Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 28 Ogos - Kerajaan negeri sedia mempertimbangkan sejumlah peruntukan bagi membaikpulih bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas supaya sesi pembelajaran dapat diteruskan seperti biasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil Ustaz Maliaman Kassim berkata, pihaknya telahpun membuat satu keputusan dan akan membantu sekolah dengan menyiapkan proses bangunan lama yang tidak diduduki bagi membolehkan pelajar yang terjejas akibat kerosakan bangunan asal yang dilanda ribut semalam.


“Kita juga akan  meluluskan satu peruntukan untuk menggantikan lampu - lampu yang rosak dan baikpulih tandas dengan jangkaan kos keseluruhan proses baikpulih bangunan setelah diluluskan dalam perbincangan dalam masa terdekat.

“Itu yang ditanggung oleh kerajaan negeri, sementara bangunan yang rosak dalam proses penilaian baikpulih oleh oleh Jabatan Kerja Raya (JKR),”jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan di sekolah tersebut bersama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh dan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Muhyiddin Abdul Rashid, pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin dan  Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Rosli Chik.


Menurut Maliaman, kerja- kerja pembersihan dan pemindahan turut mendapat kerjasama dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) Ajil serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berdekatan.

“Kita telah menghantar Pasukan Unit Amal dan MPKK untuk membersih bilik - bilik kelas dan mengeluarkan barang - barang yang masih boleh digunapakai ke bangunan baru untuk dijadikan kelas.Alhamdulillah  kerja - kerja pembersihan ini mendapat kerjasama yang sangat baik daripada mereka dan akan diteruskan sehingga esok, “ katanya.


Sementara itu, Shafrudin berkata proses membaik pulih dua bangunan SMK Landas yang rosak akibat ribut dijangka siap sepenuhnya sebelum sesi persekolahan 2020 yang bermula Januari depan  melibatkan peruntukan RM400,000 daripada Kementerian Pendidikan.

“Seramai 315 pelajar menjalani sesi persekolahan seperti biasa manakala pelajar yang menduduki bangunan itu akan dipindahkan buat sementara waktu di blok kosong yang menempatkan pelajar Tingkatan Enam.
“Unit Forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan siasatan terperinci menilai jenis kerosakan dan kos diperlukan bagi membaiki kerosakan bangunan ini," katanya lagi.
Terdahulu, kejadian ribut kira-kira jam 3 petang semalam menyebabkan kemusnahan teruk pada struktur bumbung dua bangunan di sekolah ini serta kerosakan pendawaian elektrik walaubagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: