Wednesday, 14 August 2019

'Kerajaan Malaysia Perlu Perkukuhkan Perpaduan Nasional' - MB Terengganu

SHARE

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri (kiri) ketika melepaskan peserta Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Perkarangan Wisma Darul Iman hari ini.

KUALA TERENGGANU 14 Ogos - Kerajaan Malaysia perlu memperkukuhkan Perpaduan Nasional kerana terdapat beberapa insiden boleh menggugat keutuhan perpaduan tersebut sejak akhir-akhir ini.

Tanpa menyebut insiden tersebut Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi orang Islam, mereka mempunyai panduan tersendiri untuk mengukuhkan perpaduan sesama mereka berteraskan Al-Quran dan Sunnah.

"Bagi sebuah negara merdeka seperti Malaysia ini tentu ada perkara yang boleh mengikat perpaduan rakyat dari pelbagai kaum yang ada di dalam negara kita.

"Antaranya ialah negara kita mempunyai rukun negara. Dalam rukun negara itu ada ciri-ciri yang perlu seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa mereka sama ada Melayu, Cina atau India dan etnik-etnik lain, perlu memahami benar-benar makna rukun negara tersebut," jelasnya.

Katanya antara perkara yang boleh digunakan dalam konteks semasa ialah termasuk bahasa.

Katanya, bahasa kebangsaan negara ialah Bahasa Malaysia yang seharusnya diikut, difaham dan ditutur dengan baik oleh seluruh rakyat dalam negara Malaysia.

Bagaimanapun agak mendukacitakan selepas 62 tahun negara merdeka masih ada lagi kepincangan berlaku dalam masalah penggunaan Bahasa Malaysia.

"Masih ada lagi di kalangan rakyat negara kita ini yang tidak memandang pentingnya Bahasa Malaysia sebagai komponen perpaduan nasional," jelas beliau.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas Majlis 'Flag Off' (kibar bendera) Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang Sempena Hari kemerdekaan Ke-62 di Perkarangan Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Dato' Bentara Dalam A Rahman Yahya dan Pengarah Penerangan Negeri, Encik Azahar Ismail.

Menurut Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri apabila ada kaum dihimpit sampai ke sudut-sudut tertentu sudah pasti mereka akan memberi reaksi dan berlaku tindak balas dan sebagainya.

"Dan ini adalah kitaran yang tidak akan ada kesudahan. Sebab itu seluruh rtakyat di dalam negara kita ini harus mengakui hakikat, bagaimana kita boleh mengharmonikan hubungan antara kaum," jelasnya.

Justeru katanya, mana-mana pihak tidak boleh menggugat sensitiviti mana-mana kaum sehingga kaum itu rasa terancam.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: