Monday, 5 August 2019

Kenal Pasti Punca 200 Hektar Tanaman Sawit Tenggelam - Mohd Nurkhuzaini

SHARE

Oleh: Mustaqim Afandi 

BESUT, 5 Ogos- Kerajaan negeri akan mengenal pasti masalah yang mengakibatkan 200 hektar tanaman sawit tenggelam akibat sistem perparitan yang sempit di Kampung Baroh Keranji, Batu Tumbuh, Besut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata pengaliran air yang perlahan menyebabkan kawasan tanaman kelapa sawit ditenggelami air apabila hujan lebat dan menyebabkan banjir.

Katanya, kesan daripada saliran perparitan yang perlahan itu tiada penghasilan buah kelapa sawit hampir satu tahun. Penduduk kampung yang bekerja disitu merungut kerana kerugian tiada hasil pendapatan.

“Kita akan mengenalpasti masalah yang berlaku ini, adakah akibat daripada saliran air perparitan yang kecil ataupun kerana laluan saliran air tersumbat hasil daripada pokok yang tumbang tetapi dibiarkan begitu sahaja.

“Hasil daripada lawatan ke tapak tanaman sawit itu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membuat kesimpulan bahawa kaedah yang boleh dibuat adalah membersihkan dan mendalamkan saliran perparitan yang sepanjang dua kilometer itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ( UPDI) selepas membuat tinjauan ke kawasan berkenaan, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru Batu Tumbuh, wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, wakil JPS dan  Majlis Daerah Besut.


Menurut Mohd Nurkhuzaini yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, beliau telah mewujudkan suatu jawatankuasa khas untuk mengatasi masalah ini.

"Alhamdulillah, semua agensi yang terlibat telah dapat turun sama-sama bagi mendapatkan maklumat yang tepat untuk keputusan yang pantas.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada  pihak bomba , JPS, Majlis Daerah Besut dan Pejabat Daerah Besut yang terlibat dalam mencari jalan tengah untuk penambahbaikan kawasan terjejas,"ujarnya lagi

Terdahulu, kawasan tanaman kelapa sawit  berkenaan pernah berlaku kebakaran tanah gambut dan merebak ke ladang orang kampung.

Oleh sebab itu, Jabatan Bomba  dan  JPS terpaksa membuat parit di kawasan tersebut bagi menggelakkan kebakaran berulang tetapi menyebabkan   tanaman sawit jadi terbantut akibat banjir sekiranya hujan lebat disebabkan pengaliran air bermasalah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: