Saturday, 3 August 2019

“Kemuka Maklumat Lengkap Untuk Kita Semak Semula' - Dr. Azman

SHARE
Dr Azman Ibrahim.
Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 3 Ogos - Sebarang individu yang mendakwa bahawa ramai penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disekat bantuan diminta mengemukakan maklumat lengkap berkaitannya kepada pihak berwajib untuk disemak semula.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, berdasarkan penelitiannya dalam tempoh setahun lebih usia pemerintahan kerajaan negeri, tiada seorang pun penerima yang dipotong atau disekat bantuan kecuali yang telah meninggal dunia.

‘’Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penimbang, segala permohonan bantuan JKM akan dipertimbangkan. Malah setiap kali mesyuarat, kita tambah berpuluh orang penerima yang baru,’’ tegasnya menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sosial ‘ Facebook’ milik peribadinya, semalam.

Menurutnya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penimbang Kebajikan daerah Setiu dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penimbang Kebajikan daerah Besut itu, kerajaan negeri terus komited untuk menjaga dan memastikan kebajikan rakyat terutama golongan-golongan yang kurang berkemampuan terjamin.

‘’Untuk menjernihkan keadaan ini, saya mahu pihak terbabit mengemukakan maklumat itu kepada kami jika benar berlaku di Besut atau Setiu untuk kita semak bagi menyelesaikannya.

“Kebiasaan yang berlaku, masalah mungkin timbul apabila ada penerima berpindah tinggal ke daerah lain, tetapi tidak mengemaskini  maklumat terbarunya kepada JKM yang akhirnya menyebabkan bantuan tidak dapat disalurkan,” jelasnya.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: