Saturday, 31 August 2019

Kembara Dakwah Sasar Komuniti Luar Bandar

SHARE

Oleh: Adli Mohamad

DUNGUN, 31 Ogos- Pejabat Agama Daerah Dungun akan menganjurkan Program Kembara Dakwah selama dua hari bermula 5 September ini bagi memperhebatkan usaha dakwah di perkampungan luar bandar.

Pegawai Agama Daerah Dungun, Zulkefli Othman berkata, program anjuran bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Minda, MPKK Pasir Raja dan MPKK Kampung Syukor itu menyasarkan komuniti kampung terpilih di Hulu Dungun.

"Ianya melibatkan Kampung Syukor, Kampung Kuala Jengai, Kampung Jongok Batu serta Kampung Pasir Raja.

"Pemilihan kampung berkenaan adalah salah satu usaha dakwah bagi kawasan pedalaman bertujuan meningkatkan lagi kefahaman agama dan menerapkan nilai-nilai Islam didalam komuniti.

"Antara pengisiannya adalah untuk membaiki kualiti solat dengan tahsin bacaan surah Al-Fatihah yang menjadi rukun kepada solat dan tahsin amali solat, juga untuk menambah kefahaman mengenai amalan gaya hidup Islam dalam aspek yang mencakupi pendidikan, kekeluargaan, serta pembinaan akhlak dan moral," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Pelaksanaan Program Kembara Dakwah Daerah Dungun 2019, di Rumah Rehat Pasir Raja, kelmarin.

Turut hadir,Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.

Sementara itu, Ghazali berkata, program yang dianjurkan secara berkolaborasi diantara beberapa jabatan dan agensi berkaitan itu diharap akan memberi impak positif kepada golongan sasaran.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: