Wednesday, 7 August 2019

Jerebu : IPU Empat Daerah Turun Ke Tahap Sederhana

SHARE

KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Keadaan jerebu di empat daerah sehingga 10 pagi ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana dan berlaku sedikit perubahan berbanding semalam susulan kebakaran hutan di Sumatera yang dipercayai membawa jerebu ke Semenanjung.

Berdasarkan bacaan terkini IPU di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan Kuala Terengganu mencatat bacaan 76, manakala di Besut sebanyak 75. Sementara itu di Paka, Dungun dan Teluk Kalong, Kemaman masing-masing mencatat bacaan IPU, 71 dan 70.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi JAS, Zakaria Ahmad @ Mohd berkata, jika berlaku lagi kebakaran di Indonesia, terdapat kemungkinan jerebu masih akan menyelubungi negara ini termasuk di Terengganu.

“Ia bergantung kepada kebakaran yang berlaku di Indonesia. Setakat ini,  40 titik panas dikesan di Sumatera jadi jerebu berada pada tahap sederhana tetapi kami akan terus memantau.

“Pihak kami juga sudah mengambil langkah meningkatkan pemantauan serta rondaan mencegah kebakaran terbuka.

“JAS turut meminta bantuan dari kilang-kilang di kawasan sensitive bagi memastikan kawalan dilakukan ke atas pelepasan bahan kimia dan sisa toksik dari semasa ke semasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di pejabatnya di sini hari ini.

Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak melakukan pembakaran terbuka dalam keadaan kualiti udara yang tidak sihat akibat jerebu susulan kebakaran hutan di Indonesia di samping menjaga kesihatan masing-masing.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Meteorologi Terengganu, Mohammad Hariz Mohd Faeiz berkata keadaan jerebu adalah bersifat sementara dan pihaknya sentiasa memantau keadaan cuaca di seluruh negeri termasuk kawasan yang berisiko secara berterusan.

“Sebenarnya ia (jerebu) berpunca dari faktor angin yang bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya membawa jerebu akibat pembakaran hutan yang berlaku di Indonesia.

“Kebanyakan kawasan di Semenanjung sudah pulih seperti biasa. Bilangan titik panas di Sumatera yang menyumbang kepada jerebu di negara kita juga sudah berkurangan dan kita jangka keadaan akan bertambah baik,”kata beliau ketika dihubungi UPDI hari ini.

Terdahulu, jerebu dilaporkan melanda negara susulan kebakaran hutan di enam wilayah di Indonesia melibatkan Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100, sederhana; 101-200, tidak sihat; 201-300, sangat tidak sihat dan melebihi 300, berbahaya.

Untuk mengetahui bacaan IPU, orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my. Bacaan IPU turut dipaparkan dalam tempoh setiap jam.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: