Tuesday, 6 August 2019

Isytihar Harta : Terengganu Akan Beri Kerjasama - MB

SHARE
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan negeri  akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melaksanakan akta yang mewajibkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengisytiharkan harta mereka dan ahli keluarga terdekat iaitu suami, isteri atau anak dalam akuan berkanun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya masih menunggu maklumat yang lengkap daripada SPRM dan akan membuat perbincangan serta penyelarasan dengan rakan-rakan dari negeri yang lain.

“Jadi kita masih belum membuat keputusan akhir lagi ‘how we go about it’  tapi secara umumnya kita tidak ada  sebarang masalah sebenarnya untuk pengisytiharan dan sebagainya, cuma dari segi teknikal itulah yang perlu kita selesaikan.

“Kita akan bagi kerjasama tentang apa jua inisiatif, sebab itu kita juga hadir dalam pelancaran Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 (NACP) dan kita juga sentiasa ‘follow up’ dengan pihak SPRM dari segi pelaksanaan NACP tadi.

“Ini menunjukkan komitmen kita dan ada perkara-perkara yang berkait dengan tanggungjawab pihak kerajaan dan agensi-agensi untuk melakukan penambahbaikan sendiri terutama dari segi ISO dan sebagainya termasuk jawatankuasa dari peringkat negeri dan sebagainya yang merupakan sebahagian daripada NACP,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Dasar Integriti Darul Iman (DIDI) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mohd Zahari Md Azahar.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Dato' Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Pengerusi Strategic & Intergrity Institute ( TSIS), Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, Shamshun Baharin berkata, SPRM menggalakkan semua ahli politik dan kerajaan negeri untuk melakukan pengisytiharan harta bagi memperlihatkan ketelusan pentadbiran kerajaan.

Jelasnya, bagi kerajaan negeri  satu usul  perlu dibawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) terlebih dahulu untuk diluluskan di peringkat DUN.

“Jika diterima, semua ADUN perlu melakukan pengisytiharan harta pada Yang Dipertua Dewan seterusnya salinan itu juga akan diserahkan kepada pihak SPRM.

“Kita pun menjaga dari segi data dan takkan akses kepada maklumat tu sebab di peringkat ibu pejabat pun hanya di peringkat tertentu sahaja yang mengendalikan ‘event’, malah saya sebagai TKP pun tak  akses pada maklumat yang ada. Yang itu kita kena bagi perhatian,” ujarnya lagi.

Beliau berharap setiap kerajaan negeri mengambil langkah yang sama  untuk memperlihatkan  ketelusan pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat pusat mahupun di peringkat negeri .

Untuk rekod, pada 1 Julai, Dewan Rakyat meluluskan usul mewajibkan semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang untuk mengisytiharkan harta dan pada 22 Julai, usul sama diluluskan di Dewan Negara.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: