Thursday, 1 August 2019

Hobi Bertukar Menjadi Sumber Rezeki

SHARE
Nur Samihah Abdullah Suhaimi.
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Bermula dengan minat yang mendalam dengan seni lukisan bunga-bungaan sejak kecil, akhirnya hobi berkenaan menjadi sumber rezeki.

Pelukis lukisan floral, Nur Samihah Abdullah Suhaimi, 25, berkata, minat tersebut terus memuncak apabila dia menuntut di universiti dan diajar menggunakan ‘board’ lukisan secara manual serta asas ‘watercolour’.

Graduan Seni Bina Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, sebaik sahaja menamatkan pengajian di universiti, ilmu yang diperolehinya terus diaplikasikan untuk memperkemaskan lagi seni lukisan dan berjaya menghasilkan watercolour painting, Painting on Bag serta Wedding Guestbook & Wedding Signboard.

“Secara rasminya ia bermula apabila saya melukis dan memuat naik ke ruangan media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook, ia mendapat pujian dan pertanyaan ramai orang.

“Awalnya, saya hanya buat suka-suka, isi masa terluang, setiap hasil lukisan dimuat naik ke media sosial, namun selepas menerima banyak respon positif saya fikir ada baiknya saya jadikan hasil seni sebagai sumber rezeki,” ujarnya dalam Segmen Wawancara Darul Iman : Lukisan Floral di Studio TV Darul Iman baru-baru ini.

Karyanya yang cantik dan berkualiti berjaya menarik minat sebuah syarikat aksesori wanita apabila dilamar untuk melukis di atas bahan kulit bagi produk syarikat berkenaan.

“Pada awalnya mereka bagi saya mencuba dahulu, tetapi dibayar termasuk material mereka sediakan. Kemudian selepas seminggu mereka berpuas hati dan berikan bahan yang sebenar. Akhirnya produk itu dijual,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Nur Samihah berkata, sepanjang menceburi bidang tersebut, dia juga tidak terlepas menerima kritikan, namun, berkat sokongan daripada keluarga terutamanya ibu dan ayah terus menjadikannya tabah menghadapi sebarang dugaan.

“Keluarga, ayah dan ibu menjadi inspirasi saya, mereka banyak memberikan saya sokongan moral supaya saya terus bergiat dalam bidang seni ini dan menjayakan apa yang saya minati. Kawan-kawan juga sentiasa ada bersama saya.

“Setiap pengalaman pahit, kritikan daripada orang sekeliling saya jadikan ia sebagai kritikan yang membina untuk saya perbaiki karya saya,” tambah Nur Samihah.

Kini dia telah menerima banyak tempahan sama ada untuk hantaran perkahwinan, hadiah hari jadi, dan hiasan di rumah serta pejabat.

Untuk pertanyaan atau melihat hasil karya-karyanya, sila layari laman Facebook Nur Samihah Abdullah Suhaimi dan Instagram Miha Suhaimi.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: