Thursday, 22 August 2019

'Hadapi Cabaran IR4.0 Dan 'Post-Truth' Dengan Cemerlang' - MB Terengganu

SHARE
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri (tengah) menghadiahkan Buku 15 Tokoh Menteri Besar (MB) Terengganu kepada Bekas MB Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said (kanan) disaksikan oleh Bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Bentara Dalam A Rahman Yahya.

KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Kerajaan negeri perlu bersedia menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan 'Post-Truth' bagi menghadapi ledakan kemajuan teknologi dan maklumat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam bidang teknologi semua pihak perlu bersedia menghadapi ledakan IR 4.0 manakala dalam era kemajuan maklumat mereka perlu mendepani fenomena 'Post-Truth'.

Bagaimanapun katanya, agenda kerajaan dalam pembangunan dan pendidikan bagi menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera tetap diteruskan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku 15 Tokoh Menteri Besar Terengganu di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri (tengah) melawat Pameran Tokoh-tokoh MB Terengganu di Lobi Wisma Darul Iman Kuala Terengganu semalam. 

Turut hadir, Dato' Bentara Dalam Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, walau apa jua cabaran yang datang, hala tuju negeri akan tetap diteruskan terutamanya agenda pembangunan, pendidikan dan ekonomi negeri Terengganu bertepatan dengan slogan Maju, Berkat dan Sejahtera.

"Peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh Menteri Besar tidak dapat dinafikan. Seluruh keringat yang dicurahkan oleh mantan-mantan Menteri Besar merupakan jasa besar untuk kepentingan negeri. 

"Walaupun setiap Menteri Besar membawa ideologi, hala tuju dan 'tagline' yang berbeza, namun matlamat adalah satu iaitu memajukan negeri Terengganu," jelasnya.

Menurut beliau, setiap tokoh mempunyai cabaran yang berbeza-beza disebabkan peredaran zaman. 

"Sebagai contoh cabaran yang dihadapi oleh Menteri Besar Terengganu yang awal terpaksa berhadapan dengan zaman pendudukan Jepun, naungan kuasa Siam, zaman peralihan bintang tiga dan pentadbiran tentera British," jelasnya.
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri (tengah) bersama Mantan dan Ahli Waris Mantan MB Terengganu.

Kesemua peristiwa ini katanya memerlukan kebijaksanaan dan ketelitian dalam setiap tindakan kerana setiap keputusan yang diambil adalah bagi kepentingan negeri.

"Cabaran yang dihadapi oleh Menteri Besar yang berikutnya adalah berbeza iaitu bagaimana untuk mengisi kemerdekaan dan meningkatkan ekonomi rakyat Terengganu selepas zaman penjajahan. 

"Pelbagai pendekatan pentadbiran dan pembangunan telah dilaksanakan oleh mantan-mantan Menteri Besar, yang saya yakin bertujuan untuk memajukan negeri Terengganu dan rakyat sejahtera yang bernaung di bawahnya," jelasnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: