Wednesday, 28 August 2019

Guru Al-Quran Terengganu Bertambah 1,000 Orang Lagi

SHARE
Ustaz Satiful Bahri Mamat.
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos - Kerajaan negeri telah menambah guru al-Quran daripada 732 kepada 1,700 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ia melibatkan tambahan elaun daripada RM3.2 juta kepada RM7 juta.

Katanya, peruntukan untuk kefahaman al-Quran ditambah oleh kerajaan negeri, bukan berkurang atau dikurangkan.

"Penyelarasan itu dibuat bagi mengimbangi elaun guru Kelas Fardu Ain (KAFA)  yang turut melakukan tugasan sama.

"Mereka itu ialah yang terlibat di bawah KEMAS dan Tadika Perpaduan di bawah Kerajaan Pusat," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Guru berkenaan akan diselaraskan elaun mereka dari RM500 kepada RM400 mulai bulan depan dan isu ini tular di media sosial hari ini.

Satiful yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu menjelaskan, elaun itu boleh dikekalkan atau ditingkatkan sekiranya Kerajaan Pusat memberi peruntukan sewajarnya.

Di samping itu kata beliau, kerajaan negeri membuka lebih banyak peluang untuk anak-anak negeri mempelajari al-Quran dengan kewujudan guru yang ramai di setiap kawasan.

"Ia juga mengurangkan bebanan tugas yang ditanggung guru al-Quran apabila semakin meningkat permintaan untuk belajar al-Quran.

"Dahulu seorang guru mengawal 10 murid tetapi sekarang seorang guru hanya lima orang murid sahaja," katanya. 
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: