Monday, 5 August 2019

Gerbang ATC Rancakkan Pembangunan Usahawan Di Ajil

SHARE


Oleh : Khairuddin Yusoff

Gerbang Ajil Trade Centre (ATC) memberi suntikan baru kepada peniaga - peniaga untuk merancakkan perniagaan lagi mereka untuk diketengahkan di peringkat komersial.

Pengarah Program, Rahimi Yusoff berkata, objektif utama program ini adalah mengumpulkan usahawan dan penjaja supaya dapat mempromosi serta memajukan perniagaan supaya menjadi satu perniagaan yang berdaya saing.

Katanya, program ini bertujuan untuk mengumpulkan usahawan dan penjaja jalanan untuk kita integrasikan secara bersepadu bagi memupuk daya saing usahawan tempatan kita khasnya untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“ Alhamdulillah, ia juga menitikberatkan elemen- elemen kesepakatan, perpaduan, nilai jati diri individu dan keyakinan diri  melalui program yang kita jalankan.

"Apa yang penting kita terapkan pengisian rohani yang kita sajikan termasuklah beberapa agensi yang terlibat untuk memberi ceramah kerjaya bagi memberi kesedaran bahawa akademik bukan semata- mata untuk kita buktikan kecemerlangan hakiki,"ujarnya wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) di tapak program di ATC, di sini hari ini.

Tambah Rahimi lagi, pihaknya juga ingin mencungkil bakat kebudayaan tempatan khasnya daripada warga Ajil untuk kita ketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi mengikut acuan dan patuh syariah yang telah digariskan oleh kerajaan negeri.

Seramai sembilan ribu pengunjung yang direkodkan selama tujuh hari sepanjang program dijalankan dan mensasarkan seramai 20,000 orang hingga 10 Ogos nanti.

“Kita ada buat kolektif data dan melangkau apa yang kita jangkakan dan pada hari ketujuh telah mencapai seramai sembilan  ribu pengunjung yang direkodkan melalui jumlah lawatan setiap booth dan kita jangkakan 20,000 orang hingga 10 Ogos nanti, InsyaAllah.

“Saya juga amat berbangga dan berterima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Ajil yang memberikan kerjasama yang padu dan memang patut diberikan kredit penuh kerana turut sama turun padang menjayakan program ini, “ujarnya.

Rahimi

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata  para usahawan mestilah merebut peluang melalui program sebegini untuk membesarkan lagi perniagaan mereka.

“ Gerbang malam ini merupakan satu versi baru dalam medan perniagaan kerana penganjuran ini membuka ruang kepada usahawan- usahawan kecil untuk membesarkan perniagaan mereka dan kita memandang positif bahawa gerbang ini merupakan asas untuk membina masa hadapan yang cemerlang dalam perniagaan.

“ Jadi kita mengharapkan wujudnya program dan pengisian dalam gerbang ini akan membuka ruang yang  lebih luas kepada peniaga - peniaga untuk mempunyai daya saing dan insiatif supaya berusaha lebih gigih dan keras untuk memajukan perniagaan mereka.

Katanya lagi, alang - alang menceburi perniagaan lakukan secara bersungguh- sungguh seperti perumpamaan orang cina yang menganggap perniagaan merupakan darah daging mereka.

“Jadi kita dari kecil sepatutnya membina gabungan dan jalinan dari segi kesatuan dan ini merupakan satu daripada asas perniagaan cina iaitu mereka membantu antara satu sama lain.

“Jadi kita mengharapkan dengan adanya gabungan wira usahawan ini akan membantu peniaga melayu ke arah lebih berdaya saing, “ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: