Friday, 30 August 2019

Festival Floria Diraja : Terengganu Idam Raih Anugerah Utama

SHARE
Yang Dipertuan Agong serta Raja Permaisuri melihat replika Batu Bersurat yang menjadi elemen dalam Laman Darul Iman

PUTRAJAYA, 30 Ogos - Terengganu yang diwakili Majlis Perbandaran Dungun (MPD) meletakkan sasaran untuk meraih anugerah utama, 'President Award' dalam Festival tumbuhan dan bunga hiasan, Floria Diraja Putrajaya (RFP) 2019.

RFP edisi ke-11 itu berkonsepkan Bonsai & Orkid telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Agung, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Arkitek Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Wan Muzammir Wan Arif berkata, selepas menggondol lima anugerah pada pameran sama tahun lepas, pihaknya menyasarkan untuk meraih kejayaan yang lebih tinggi kali ini.

Jelasnya, berdepan dengan 10 lagi pencabar dalam kategori 'Government And Corporate Design', gabungan konsep moden, 'Drawbridge' dan tradisional, Batu Bersurat dalam pembinaan 'Laman Darul Iman' menjadi taruhan.

"Kita yakin bahawa kita mempunyai peluang untuk menjuarai kategori-kategori yang telah dipertandingkan sebagaimana tahun lepas.

"Dan sebenarnya kita target untuk memenangi anugerah 'President Award' tahun ini, kerana kita tidak pernah memenangi anugerah kita sebelum ini," ujarnya ketika ditemui media sempena festival tersebut di Taman Botani, Presint 1.
Wan Muzammir.
Menurut Wan Muzammir lagi, konsep dan elemen yang digarap bersama tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu juga bertujuan memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terbaik.

"Konsep yang kita tonjolkan batu bersurat dan drawbridge ini untuk kita maklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan pelancong yang melawat landskap pada pameran kali ini," tambah beliau.

Istimewanya pameran kali ini ialah penampilan bunga orkid yang dinamakan sebagai Vanda Queen Azizah Iskandar sempena nama Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Pameran yang bermula pada 31 Ogos hingga 8 September itu turut dimeriahkan dengan beberapa bahagian utama antaranya Magical Garden, Musical Garden, Royal Garden, The Magic of Bonsai & Suiseki dan Pertandingan Orkid Antarabangsa.

Laman Darul Iman

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: