Monday, 19 August 2019

FAMA Bantu Pasarkan Duku Terengganu

SHARE

HULU TERENGGANU, 19 Ogos-Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus membantu mempromosi dan memasarkan buah duku Terengganu bagi menjamin kestabilan harga untuk mengatasi risiko lambakan buah tersebut di pasaran.

Pengarah Kanan Khidmat Pemasaran ( Segar) FAMA Ibu Pejabat, Mohd Anis Mohd Yasin berkata pihaknya mensasarkan pengeluaran hampir 5,000 tan duku tahun ini menerusi ladang seluas 404 hektar yang membabitkan lebih 1,000 petani di seluruh negeri Terengganu.

Katanya, pengeluaran tahun ini lebih tinggi berbanding tahun lalu dan perkembangan itu sedikit sebanyak dapat merealisasikan usaha untuk memartabatkan duku Terengganu antara duku terbaik di Malaysia.

"Selain pembelian oleh FAMA, kita juga menggalakkan petani ini terlibat sendiri dalam pemasaran supaya mereka dapat hasil yang lebih baik," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Antara FAMA dengan Usahawan Duku Terengganu di Kampung Durian Bador, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed.

Menurutnya, pembelian buah duku berkenaan dibuat menerusi 11 pusat pembelian yang diwujudkan oleh Fama di kawasan sasaran.


Jelasnya lagi, harga duku di peringkat ladang kini antara RM2.20  manakala harga runcit kira-kira RM4.00 sekilogram.

Sementara itu, FAMA masih lagi membuat kajian dan mencari satu kaedah bagi membolehkan duku Terengganu yang menjadi buah pengenalan negeri ini dapat berada di pasaran sepanjang masa.

Tambah Mohd Anis, duku  merupakan sejenis buah yang boleh bertahan dalam tempoh tiga hari dan ia perlu segera dipasarkan selepas dituai.

"Setakat ini, ia hanya dieksport ke Singapura dan Indonesia kerana jangka hayatnya yang pendek dan cepat rosak.

"Pelbagai usaha telah dibuat untuk komersialkan duku tetapi setakat ini belum menemui jalan penyelesaian namun kita akan usaha lagi untuk mencari kaedah alternatif bagi masalah ini," ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: