Saturday, 3 August 2019

DUN Jabi Giat Naik Taraf Jalan

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 3 Ogos - Projek menaik taraf jalan di beberapa kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi giat dijalankan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim berkata, walaupun penyelenggaraan jalan beroperasi agak perlahan, namun ia dilakukan secara berterusan dan berperingkat di setiap kampung.


"Alhamdulillah, dalam tempoh beberapa hari, kita telah berjaya selesaikan projek menaik taraf jalan di Kampung Renek, Kampung Tasik Nibong dan Kampung Gerong serta jalan ladang untuk penduduk Kampung Bukit Jeruk dan Kampung Kerandang juga telah diturapkan.

‘’Kita cuba kayuh perlahan-lahan tetapi istiqamah. Semoga ia dapat memberikan sedikit kemudahan untuk rakyat,’’katanya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.

Tambahnya, janji untuk membina jalan baru di Bukit Tanah juga telah berada dalam proses perlaksanaan.

Dr. Azman berharap pelaksaan kerja-kerja naik taraf dapat memberi kelegaan kepada rakyat yang  terlibat.  

“Banyak lagi projek selenggara jalan yang akan dilaksanakan di Jabi dalam masa terdekat. Insya-Allah, semua akan dapat rasa. Pihak saya juga sedang cuba menyelesaikan beberapa lagi aduan rakyat khususnya berkaitan kemudahan jalan untuk kegunaan masyarakat setempat.

“Saya berharap rakyat dapat bersabar dan terus percaya atas mandat yang diberi kepada kerajaan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Renek, Norisabri Ismail memaklumkan, aspek pemilihan tempat untuk dinaik taraf amat penting agar ia dapat memberi manfaat yang sewajarnya kepada penduduk.

“Di Kampung Renek, laluan yang diselenggara merupakan jalan pertanian utama yang digunakan penduduk. Alhamdulillah, dengan kemudahan jalan berturap ini dapat memudahkan orang kampung ke ladang sawit dan sawah padi.

“Kemudahan jalan ini bukan sahaja dapat memacu pertambahan penduduk malah dapat mengimbangi pembangunan dalam kampung. Lebih-lebih lagi, bagi kawasan lokaliti Sungai Renek yang agak terpinggir dari kawasan lain,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: