Thursday, 1 August 2019

'Drawbridge' Dibuka Semula Mulai 6 Pagi Tadi

SHARE
Orang ramai menggunakan laluan jalan raya di atas jambatan angkat dengan selamat sejak dibuka enam pagi tadi.

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos – Kerajaan Terengganu membuka semula jambatan angkat atau ‘drawbridge’ kedua-dua laluan bermula 6 pagi tadi untuk memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya dari pusat bandar menuju Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Nerus kira-kira 11 kilometer dari sini.

‘Drawbridge’ yang menjadi kebanggaan warga Terengganu dibuka sepenuhnya hari ini, selepas beberapa kerja penambahbaikan infrastruktur selesai.
Tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) tengahari tadi mendapati laluan trafik berjalan lancar kedua-dua hala dengan cuaca yang agak baik.
Tiada kenderaan berhenti untuk mengambil gambar di atas jambatan berkenaan kerana tiada siapa yang dibenarkan berbuat demikian.
Kenderaan orang ramai hanya dibenarkan lalu sahaja di atas jambatan ikonik tersebut supaya tidak berlaku kesesakan lalu lintas.
Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku di atas jambatan itu sekali gus ia selamat digunakan untuk kemudahan orang ramai.
Terdahulu dari itu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Putih, berkata jambatan berkenaan yang dijangka menelan belanja penyelenggaraan dan operasi RM5 juta setahun telah melalui beberapa fasa penambahbaikan.
Laluan kedua-dua hala di atas 'drawbridge' berjalan lancar sejak dibuka enam pagi tadi.

Beliau berkata, ia termasuk menambah baik keselamatan di kawasan rehat, pembinaan papan iklan, mengatasi masalah hakisan ombak, menyediakan kawasan berhenti dan laluan basikal, selain menaik taraf jalan kepada empat lorong di Seberang Takir.

Katanya, aspek keselamatan di kawasan rehat dan tempat duduk yang agak rendah serta membahayakan akan dinaik taraf dengan pembinaan papan iklan sebagai penghadang bagi menjaga keselamatan pengunjung.

“Selain itu kita juga melihat beberapa kawasan lopak air dan kawasan ternakan atau kandang lembu di sepanjang jajaran jambatan angkat ini yang perlu dipindahkan dan dinaik taraf.

“Untuk kerja naik taraf jalan di jajaran jambatan angkat kepada empat lorong di Seberang Takir yang bermula daripada bulatan di Teluk Ketapang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud dijangka mengambil sedikit masa berikutan ia akan membabitkan pengambilan tanah penduduk.

“Kita juga mengambil berat risiko hakisan yang mungkin berlaku di sepanjang laluan masuk ke jambatan angkat termasuk berhampiran pantai di Seberang Takir sepanjang kira-kira satu kilometer.

“Kita akan membina struktur penahan ombak dalam tempoh terdekat dengan kemasukan tender untuk kerja berkenaan pada 1 Julai ini,” katanya selepas melakukan lawatan meninjau perkembangan jambatan angkat di sini, baru-baru ini.

Sementara itu Dr Mamad berkata, sejajar dengan kos pembinaan jambatan pertama seumpamanya di negara ini dan Asia Tenggara yang menelan kos tinggi iaitu RM248 juta, pihaknya akan memastikan jambatan angkat itu mampu menjana ekonomi penduduk dan kerajaan negeri.
Pemeriksaan keselamatan dijalankan di atas menara 'drawbridge' supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku. 

Beliau berkata, kawasan sekitar jambatan angkat itu akan dibangunkan dengan tarikan pelancongan seperti tempat jualan dan memancing, sekali gus mengoptimumkan kewujudan jambatan ikonik baharu di negara ini.

Pembinaan jambatan unik sepanjang 638 meter itu adalah sebahagian daripada projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan sebahagian komponen dalam pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu (KTCC).

Jambatan dengan ketinggian 12.5 meter dari aras laut yang menghubungkan muara selatan di pusat bandar Kuala Terengganu (Tanjung) dan muara utara di Seberang Takir itu kini menjadi mercu tanda baharu dan tarikan pelancongan ke negeri ini.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: