Saturday, 10 August 2019

'Degil Jaga Kebersihan, Tarik Balik Lesen'- Amzad Hashim

SHARE
Ahmad Amzad (tengah) ketika melawat Pasar Payang 2 hari ini.

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Kebersihan perlu diutamakan apa lagi jika berurusan dengan pasar dan pengunjungnya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, peniaga yang melanggar peraturan kebersihan di premis mereka perlu ditarik balik lesen sekali gus tidak membenarkan mereka berniaga di premis berkenaan lagi.

"Peniaga yang didapati tidak menjaga kebersihan dan melakukan kesalahan serta tidak dapat mematuhi peraturan setelah ditegur, adalah gagal menyesuaikan diri dengan premis baru ini dan boleh dibatalkan lesen premis.

"Baik ditawarkan kepada mereka yg boleh mematuhi peraturan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini, mengulas dakwaan terdapat segelintir peniaga Pasar Payang 2 tidak menjaga kebersihan pasar tersebut.

Mereka didakwa sengaja melonggokkan sampah di hadapan pintu masuk pasar berkenaan.

Ahmad Amzad berkata, beliau melihat sendiri keadaan yang seperti dilaporkan. 

"Saya meminta nama kontraktor kebersihan yang bertanggungjawab, bertemu yang menjaga tandas dan surau.

"Saya harap mekanisme pengurusan kebersihan mesti menatijahksn tahap kebersihan yang munasabah dengan premis baru yang indah dan baik ini," jelas beliau.

Kontraktor katanya, mesti yang mampu menunaikan piawai kebersihan yang ditetapkan.

"Tong-tong sampah mesti cukup, sesuai saiznya dan berada di lokasi yang sesuai. Label, papan tanda, mesej-mesej jaga kebersihan mesti jelas.

"Kehadiran penguatkuasa beserta ketegasan dalam bertindak adalah perlu," tegasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: