Tuesday, 20 August 2019

Buruh Gembira Terima Rumah Baharu

SHARE
Mohd Shafizi (dua dari kiri) menyerahkan kunci rumah kepada Faizal.

Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU, 20 Ogos – Keceriaan jelas terpampang pada wajah seorang buruh, Mohd Faizal Ibrahim, 32, apabila mendapat rumah baharu bagi menggantikan rumah peninggalan ayahnya yang hangus dijilat api tahun lalu.

Faizal yang terpaksa menumpang di rumahnya abangnya, menerima rumah tersebut hasil sumbangan kerajaan negeri, agensi korporat dan orang ramai melalui Tabung Darul Iman (TDI).

“Rumah peninggalan ibu dan ayah sebelum ini sudah terbakar, menyebabkan saya hilang tempat berteduh.

“Semoga hidup saya akan berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang dan saya berterima kasih kepada semua atas sumbangan rumah ini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah, di sini semalam.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sumbangan rumah berkenaan diharap mampu meringankan beban mangsa kebakaran dan keluarga terbabit.


“Sumbangan ini terbahagi kepada beberapa kategori musibah iaitu bantuan rumah terbakar, banjir dan bencana alam,” ujarnya.

Menurut Mohd Shafizi lagi, dalam bulan ini seramai tiga orang telah mendapat manfaat daripada TDI dalam bentuk barangan rumah.

“Manakala 19 orang menerima bantuan sara diri melalui kaedah pembayaran Electronic Transfer Fund (EFT) dan dua orang menerima rumah.

“Semua orang boleh memohon dan borang boleh diambil di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit di Kampung Bukit Cempaka,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: