Thursday, 1 August 2019

Budak Main Pemetik Api, Markas PAS Hangus Terbakar

SHARE
Abdul Rahman menunjukkan markas yang hangus terbakar.

Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Sebuah markas PAS musnah dijilat api dalam kebakaran di Kampung Gong Kemunting dipercayai akibat perbuatan sekumpulan kanak-kanak bermain pemetik api.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 6.40 petang semalam.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Kemunting, Abdul Rahman Mohammad berkata, penduduk sekitar sempat melihat sekumpulan pelajar sekolah rendah merayau-rayau sambil bermain pemetik api di kawasan berkenaan.

“Penduduk setempat yang menjadi saksi menceritakan bahawa kebakaran tersebut berpunca daripada sekumpulan kanak-kanak yang bermain di sekitar kawasan markas dan dilihat mereka bermain bersama pemetik api.

“Kejadian tersebut turut dihidu oleh saya apabila saya mendapati asap yang tebal menyelubungi sekitar kampung tersebut dan saya bergegas ke tempat kejadian,” ujarnya.



Beliau berkata demikian ketika ditemu bual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak markas tersebut, Kuala Ibai hari ini.

Katanya lagi, kemusnahan markas tersebut merencatkan sedikit perjalanan aktiviti dan program yang telah diatur.

Tambahnya, pembinaan markas baharu sedang dibincangkan dan turut mengambil kira kos kerugiaan yang telah dialami.

“Kita juga telah berbincang dan meneliti nilaian kerugian, difahamkan kerugian dianggarkan bernilai sebanyak RM20,000,” tambah beliau.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: