Saturday, 24 August 2019

Boleh Solat Jumaat Di Surau Pusat Koreksional Dungun 

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 23 Ogos- Mufti Negeri Terengganu, Dato' Dr. Zulkiply Muda telah mengeluarkan fatwa yang membolehkan tahanan beragama Islam Pusat Koreksional, Dungun menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Falah di pusat berkenaan.

Beliau memberitahu, fatwa berkenaan memudahkan 500 orang muslim daripada 700 tahanan mendirikan Solat Jumaat.

Dr. Zulkiply berkata, pihaknya bersetuju membenarkan sembahyang Jumaat di Surau Al-Falah yang merupakan surau banduan berdasarkan seksyen 82 (1)(c)Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 2001 (Pindaan) 2012.

Jelasnya, surau berkenaan hanya dapat memenuhi ruang bagi 150 orang sahaja dalam satu masa dan terpaksa dibuat sistem giliran.

"Jadi saya mencadangkan kepada para pegawai disini, carilah peruntukkan mana-mana yang boleh untuk memperbesarkan lagi surau supaya semua penghuni berpeluang solat Jumaat secara sekaligus," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas lawatan di Pusat Koreksional Dungun, di Bukit Besi, hari ini.

Turut hadir Pengarah Penjara Negeri Terengganu, TKP Tuan Ahmad Saidi Hamzah, Pengarah Pusat Koreksional Dungun, TKP Abd Jalil Abdul Majid.

Mengulas mengenai kunjungan berkenaan Dr. Zulkipli berkata, secara peribadi beliau sudah lama berkeinginan untuk hadir menyantuni penghuni penjara tersebut dengan mengambil peluang memberi nasihat agama.

"Pihak rombongan kami merasa amat bertuah dengan peluang yang diberikan ini.

"Disini ada perkara yang menginsafkan kita dan boleh dijadikan pengajaran kepada mereka yang diluar sana," jelasnya.

Sehubungan itu, Pengarah Penjara Negeri Terengganu, TKP Ahmad Saidi Hamzah berkata, pihaknya amat berterima kasih diatas kunjungan mufti berkenaan.

"Kita mengharapkan agar akan terjalinnya hubungan yang baik, dan akan sentiasa menerima kunjungan dari Dato' mufti agar pihak kita boleh merujuk pelbagai perkara.

"Hasil daripada kunjungan mufti dapat dilihat menyelinap perasaan insaf para penghuni dengan pengisian kuliah sebelum solat jumaat, dan kita berterima kasih diatas fatwa yang dikeluarkan supaya dapat didirikan Solat Jumaat, dan setiap cadangan untuk penambah baikkan seperti membesarkan surau akan kita usahakan, "jelasnya.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali berkata, pengalaman dibenarkan masuk ke pusat berkenaan suatu pengalaman yang baru.

"Dengan fatwa yang dikeluarkan oleh mufti kita mengharapkan agar kebajikan penghuni akan terjaga dan selepas ini sudah tentu pihak jabatan akan melantik para imam dan bilal yang tetap untuk bertugas.

"Jadi kita mengharapkan agar penghuninya boleh menjalani kehidupan yang sempurna, dan diharapkan agar program memberi kebenaran untuk kita solat bersama penghuni dan para pegawai disini bukan pertama dan terakhir," jelasnya.

Beliau turut menyatakan bersetuju dengan cadangan baik daripada pihak mufti agar membina surau yang lebih besar serta perlu diberi perhatian oleh pihak berautoriti bagi membolehkan kesemua banduan mendirikan solat Jumaat dalam satu masa.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: