Sunday, 4 August 2019

Bola Sepak Erat Kerjasama Berpasukan

SHARE

Oleh: Izzat Al-Qushairi

SETIU, 3 Ogos- Sebanyak 25 pasukan berentap pada Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang diadakan di Padang Bola Sepak Kampung Darat, Batu Rakit.

Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, selain menguji kerjasama berpasukan, tujuan utama program tersebut diadakan adalah untuk menguatkan hubungan silaturahim ataupun hubungan persaudaraan antara pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.


“Bermula daripada program ini diharapkan peserta dapat berkenalan antara satu sama lain dan tidak mengeluarkan sifat-sifat negatif atau agresif ketika pertandingan berlangsung.

“Kita juga mesti memahami apa yang diterapkan agama Islam iaitu Islam sangat manganjur kita untuk beriadah bukan dalam skop beribadah sahaja,” ujarnya.

Berkata demikian ketika berucap merasmikan kejohanan berkenaan di Padang Bola Sepak Kampung Darat, Batu Rakit, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada belia dan beliawanis DUN Batu Rakit yang komited menganjurkan aktiviti kesukanan khususnya untuk golongan muda.


“Tahun lepas kita berjaya menganjurkan pertandingan futsal dan awal tahun ini kejohanan badminton.

“Saya berharap semoga pihak pemuda dan pemudi terus konsisten merealisasikan program-program yang berfaedah kepada masyarakat dan saya wakil daripada pihak kerajaan akan terus  menyokong penuh usaha bagi menjayakan program-program mendatang,” ujarnya.

Pada kejohanan tersebut, pasukan Tanjung FC muncul juara sekaligus berjaya merebut Piala Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit dan membawa pulang wang tunai RM2,000.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: