Sunday, 25 August 2019

Belia Terengganu Perlu Ambil Peluang Dalam Sukan Permotoran- Wan Sukairi

SHARE




KUALA NERUS, 25 Ogos – Kerajaan negeri berharap belia-belia Terengganu  dapat mengambil peluang penganjuran sukan permotoran di negeri itu untuk memajukan diri dalam sukan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran sukan permotoran dapat memberi pendedahan kepada anak-anak muda yang meminati sukan seumpamanya.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan berharap penganjuran sukan-sukan ini akan diadakan lagi pada masa hadapan.

“Melalui penganjuran sebegini, para belia dapat mengambil peluang serta mereka yang berminat boleh memajukan diri dengan menyertai sukan begini dengan cara yang benar, bukan sebaliknya,” katanya.
 
Wan Sukairi bergambar bersama penganjur dan pemenang Kelas CP150.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Malaysia Cup Prix, di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Menurutnya, terdapat beberapa kelab permotoran di negeri Terengganu antaranya di Kemaman, Dungun yang boleh digunakan sebagai saluran yang baik untuk minat mereka dalam sukan permotoran.

Dalam kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu, pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar mengatasi Nazirul Izzat Bahauddin (ONEXOX TKKR SAG Team) untuk mengungguli kelas kelas  CP150 dalam pusingan kelima semalam.

Manakala, anak kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) hanya menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan tersebut.

Bagi peringkat seterusnya, pusingan keenam akan berlangsung di Teluk Intan Perak pada 7-9 September nanti.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: