Thursday, 15 August 2019

Bantuan Segera Raih Senyuman Mangsa Ribut

SHARE



Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 15 Ogos – Tindakan pantas kepimpinan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menyelesaikan masalah kerosakan yang dialami oleh beberapa rumah penduduk kampung akibat ribut mengundang kelegaan masyarakat.

Salah seorang mangsa ribut, Syumijati Ali,37, merakamkan ucapan tahniah atas tindakan pantas pihak terbabit dalam menyelesaikan masalahnya.

“Rasa syukur dan gembira sangat di atas kecaknaan pimpinan DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Pagi-pagi lagi sudah datang melawat kami. Alhamdulillah, pemasangan atap selesai terus pada hari itu. Terima kasih banyak diucapkan,’’ katanya.

Ibu kepada lima orang anak itu sempat menceritakan saat cemas kejadian tersebut sehingga terpaksa mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur kerana bimbang atap atau serpihan kayu jatuh.

‘’Walaupun ada yang jatuh tapi mujurlah ia tidak menimpa kami. Alhamdulillah, tiada berlaku kecederaan,’’ katanya ketika ditemui di rumahnya selepas kejadian itu, baru-baru ini.


Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim menjelaskan, keadaan kayu alang yang sudah reput merupakan antara punca utama kerosakan teruk dikebanyakan rumah dalam DUN berkenaan.

‘’Memang kita akui, majoriti rakyat kita duduk rumah kayu lama. Biasa bila berlaku ribut, bukan setakat atap yang perlu ditukar, tapi kayu alang sekali.

‘’Alhamdulillah, situasi ini kita tangani secara berhemat dan cermat. Peruntukan kecemasan untuk kes-kes sebegini memang sentiasa tersedia di Pejabat Adun. Berlaku kejadian luar jangka sebegini di hari cuti pun, kita tidak panik, insya-Allah,’’ tambahnya.

Dalam kejadian tersebut, sebanyak 13 buah rumah dan infrastruktur mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda di sekitar Jabi.

Antara yang terjejas ialah di Kampung Padang Lengkuas, Anak Musang, Bukit Jeruk, Kampung Bahagia, Kepala Gajah dan Gong Ubi Keling, Kampung Jabi dan Tasek Tok Lebai.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: