Sunday, 18 August 2019

Program Bakti Siswa Medium Sebar Ilmu, Dekati Masyarakat

SHARE

Oleh: Khairuddin Yusoff

HULU TERENGGANU, 18 Ogos- Persatuan Mahasiswa Keluarga Penuntut-Penuntut Terengganu Mesir (KPT) sesi 2018/2019 menganjurkan Program Bakti Siswa Terengganu (BAKTI 19) di Kampung Tersat Ajil dalam usaha menyebarkan dakwah dan mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

Pengarah Program tersebut, Ahmad Rifaei Tn Mohd berkata, ianya bertujuan membina hubungan dengan penduduk kampung disamping memberi pengalaman kepada mahasiswa untuk berhadapan dengan masyarakat dalam menyebarkan ilmu agama.

“Program ini kita letakkan beberapa objektif untuk dicapai antaranya bagi memberi pengalaman kepada mahasiswa dan mahasiswi bahawa belajar bukan sahaja untuk dapatkan ilmu tetapi bagaimana untuk berhadapan dengan masyarakat.

“Kedua kita turun kepada masyarakat untuk melihat bagaimana reaksi serta cara untuk sebarkan dakwah dan kefahaman tentang Islam kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui pada Majlis Penutup Program BAKTI 19 yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim, di Masjid Felda Tersat, semalam.

Seramai 58 mahasiswa dari jurusan Pengajian Islam dengan 14 buah keluarga angkat dari Felda Tersat terlibat dengan program anjuran (KPT) Mesir itu yang turut mendapat kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Tersat dan Pejabat Pengurus Felda Tersat.


Sementara itu, Maliaman berkata, program tersebut secara tidak langsung juga berupaya membina personaliti unggul dalam kalangan mahasiswa seterusnya memberi peluang kepada mereka menyebar luas ilmu agama kepada masyarakat kampung.

“Program ini merupakan satu proses untuk menyerlahkan bakat kepimpinan yang ada dalam diri siswa Mesir dan selepas ini mereka akan lebih menonjol untuk bersama masyarakat.

“Ini juga merupakan satu daripada sunnah Rasullah S.A.W iaitu bukan berada di dalam masjid sahaja bahkan turut keluar untuk bersama masyarakat untuk menyelesaikan persoalan dan permasalahan mereka.

“Kita mengharapkan mahasiswa ini akan menjadi pewaris kepada para Nabi dan Rasul untuk menyebarkan ilmu agama khususnya di kawasan pedalaman yang agak mencabar kepada pendakwah,” katanya.

Sepanjang tempoh tersebut, peserta lelaki menginap di rumah sewa manakala peserta perempuan menginap di rumah ibu bapa angkat untuk mengeratkan lagi hubungan ukhuwah sesama mereka.

Sepanjang tiga hari dua malam para peserta mengadakan pelbagai program bersama masyarakat setempat  iaitu gotong - royong perdana,ziarah pesakit kronik, street dakwah dan sebagainya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: