Wednesday, 7 August 2019

500 Ekor Lampam Hasil 'Ngambak Ikan'

SHARE



Oleh : Ariss Alias

SETIU, 7 Ogos - Sebanyak 500 ekor ikan lampam sungai berjaya dipungut dalam program Ngambak Ikan Komuniti Kampung Payung Bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap.

Program dianjurkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Payung Baru turut berjaya menghimpunkan seramai 50 orang komuniti kampung dalam program yang julung kali diadakan pada tahun ini.

Pengerusi MPKK Payung Baru, Mat Arif Majid,50 berkata program ini bagi mengeratkan hubungan dalam komuniti dan dalam pada masa yang sama menggunakan kaedah yang tidak merosakkan habitat ikan.


"Kita pakat (sama-sama) tahan jaring dalam Sungai Payung ini di kedua belah arah. Satu pasukan elak ikan dari sebelah hujung dan satu pasukan lagi akan kutip ikan yang terlekat di jaring."

"Kita hanya ambil ikan yang bersaiz sederhana dan besar sahaja, manakala anak ikan akan dilepaskan bagi mengelakkannya daripada pupus," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan di sini hari ini.


Salah seorang peserta Mohd Helmie Faizi Mat,32 berkata beliau amat seronok dengan program yang dilaksanakan kerana ianya berlangsung dengan meriah sekali.

"Seronokla boleh merasai pengalaman macam ni, tahan ikan menggunakan pukat secara beramai-beramai. Tak sangka dapat hasil yang banyak.

"Ikan yang kita dapat, penganjur masak 'Singgang Kesing Tempoyak'. Walaupun kepenatan, perasaan makan bersama-sama ni amat seronok. Tambahan ada pula budu dengan petai bakar, memang menyelerakan," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Pegawai Khas Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Arif Mazlan berkata program bersama masyarakat seperti ini sentiasa mendapat sokongan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Langkap.

"Saya mewakili Pegawai Penyelaras DUN Langkap Azmi Maarof mengucapkan ucapan salam dan maaf daripada beliau kerana tidak dapat menghadirkan diri disebabkan program ini bertembung dengan mesyuarat di Pejabat Daerah Setiu.

"Saya dah berbincang bersama pengerusi MPKK, InsyaAllah kita akan laksanakan sekali lagi program ini di sini dalam skala yang lebih besar. Terima kasih kepada semua yang menjayakan program ini,"jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: