Thursday, 1 August 2019

10,719 Pengusaha Durian Terengganu Terima Peruntukan RM2.4 Juta

SHARE
Dr Azman (tengah) dalam satu sesi lawatan kerja di Dungun baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Seramai 10,719 pengusaha tanaman durian seluruh Terengganu menerima berita gembira kerana Jabatan Pertanian Terengganu menyediakan peruntukan sebanyak RM2.4 juta khusus kepada pengusaha tanaman tersebut di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagaimanapun, mereka yang berkenaan perlu datang sendiri ke Pejabat Pertanian Daerah masing-masing untuk membuat permohonan.

Katanya, daripada peruntukan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan itu, bagi kluster durian  bakal menerima sebanyak RM20 ribu minimum sehektar, sementara  RM6 ribu sehektar pula diperuntukkan bagi projek tanam semula buah terpilih.

“Manakala peruntukan di bawah Sumber Kekayaan Baru (SKB) tiada had berdasarkan kepada pembangunan kebun atau dusun,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menjawab satu soalan, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, pengusaha tersebut kebanyakannya menanam durian kampung dan ada sebahagian daripada mereka mengusahakan tanaman durian klon berkualiti.

“Kebanyakan pengusaha menanam durian kampung dan ada juga pengusaha telah pun mengusahakan tanaman durian klon terpilih dan berkualiti seperti D197, D24, D101 dan sebagainya” jelasnya lagi.

Tambahnya, pokok durian boleh mendapat hasil seusia empat hingga enam tahun sekiranya benih disemai dalam polibeg.  

"Sekiranya ditanam biji terus di ladang ia akan berbuah antara enam hingga lapan tahun," jelasnya.

Sementara itu, katanya, musim durian di Terengganu telah bermula pertengahan Julai lalu dan akan berakhir awal September depan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: